Saturday, 3 June 2023

Tukar timing belt Perodua Kelisa

Kereta Perodua Kelisa saya dibeli pada tahun 2006. Timing belt telah saya gantikan pada tahun 2013 setelah 'mileage' mencecah 100,000km dan telah saya kongsikan di sini.

Jenama: Gates

Bulan lepas (may 2023) 'mileage' kereta saya telah mencecah 200,000km namun tidak sempat menukarnya berikutan tiada masa terluang sehingga pagi ini.

RM148.00

Kali ini saya membeli timing belt berjenama Gates dan pembungkusannya seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Kit alat ganti...

Saya masih memilih untuk tidak menukar pam air kerana masih elok dan cara-cara menukar timing belt sama seperti telah saya kongsikan lepas di sini.

Seal dibekalkan tidak sesuai...

Masalah terbesar kali ini ialah seal yang dibekalkan tidak boleh digunakan sebab saiznya sedikit berbeza seperti telah saya tandakan pada gambar di atas. Nombor rujukan pada seal asal ialah seperti pada gambar di bawah

Nombor rujukan seal asal...

Terdapat sedikit kebocoran pada seal bahagian bawah setelah dibuka dan ianya adalah punca bahagian bawah injin sedikit berminyak/basah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Berminyak sebab bocor seal di bawah...

Masa keseluruhan diperlukan ialah kira-kira 2 jam 30 minit dan upah yang dikenakan kali ini cuma RM120 sahaja berbanding 10 tahun lepas RM200.

200,777km

Pengajaran daripada pengalaman kali ini ialah pastikan kesemua alat ganti yang dibeli adalah betul supaya kerja-kerja menukar berjalan lancar.

Timing belt lama kelihatan masih elok setelah 10 tahun..

Dari gambar di atas, saya berpendapat timing belt boleh bertahan sehingga 150,000km tanpa masalah.

Friday, 2 June 2023

RM100 ribu had caruman sukarela KWSP/EPF yang baharu

Mulai semalam 01/06/2023, had caruman sukarela KWSP telah dinaikkan dari RM60,000 kepada RM100,000.

w.e.f. 01/06/2023

Setelah orang ramai dibenarkan mengeluaran simpanan KWSP pada akaun 2 sebanyak 4 fasa sewaktu PKP melalui skim i-lestari, i-sinar, i-citra & pengeluaran khas 10k berikutan pandemik CoVid-19 yang lalu, kini masanya untuk mengisi kembali dana simpanan hari tua kita.

Pihak kerajaan juga tidak lagi membenarkan pengeluaran namun sebagai alternatif, pencarum dibenarkan membuat pinjaman melalui dua buah bank iaitu BSN & MBSB sahaja dengan jaminan KWSP.

w.e.f. 01/06/2023

Untuk pengetahuan ramai, pulangan simpanan KWSP adalah jauh lebih baik berbanding mana-mana simpanan tetap bank komersial.

Jadi, untuk menjana pulangan lebih dari simpanan, cadangan saya ialah pindahkan simpanan bank anda ke akaun KWSP melalui caruman sukarela.

Tahun lepas (2022) kadar dividen KWSP ialah 5.35% dan 4.75% untuk produk konvensional dan produk islamik masing-masing. Kenapa pilih produk islamik jika dividen produk konvensional lebih baik?

Untuk makluman semua, tahun sebelumnya (2021) sewaktu PKP, KWSP mampu memberi diviven sebanyak 6% berbanding kadar faedah bank komersial yang cuma di bawah 2% sahaja ketika itu.

Jika usia anda genap 50 tahun dan ke atas, anda layak mengeluarkan sekali (One-time) wang pada akaun 2 bila-bila masa, jadi tiada isu pengeluaran sewaktu kecemasan.


Jika anda berusia di bawah 50 tahun, mungkin anda perlu simpanan untuk kecemasan dan tidak sesuai dipindahkan ke akaun KWSP melalui caruman sukarela ini.

Tepuk dada, tanya selera...

Thursday, 1 June 2023

LG 6710V00141A remote control repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman dirujuk sebuah alat kawalan jauh untuk kegunaan TV plasma berjenama LG.

Alat kawalan jauh TV Plasma

Banyak alat kawalan jauh telah saya baiki dan kongsikan selama ini dan anda boleh rujuk di sini.

6710V00141A

Masalah alat kawalan jauh ini ialah butang 'volume down' sahaja tidak berfungsi bila ditekan seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Majoriti masalah sedemikian adalah disebabkan terdapat litar yang putus akibat hakisan oleh cecair bateri yang bocor telah meresap ke papan litar.

Setelah papan litar dikeluarkan...

Setelah dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, saya dapati ada kesan hakisan oleh cecair bateri seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bekas akibat cecair bateri...

Masalah tetap sama walaupun papan litar telah saya bersihkan dengan menggunakan 'contact cleaner'.

Litar putus...

Seterusnya saya periksa litar berdekatan dengan menggunakan multimeter dan mendapati salah satu litar tiada keterusan seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Sambung litar yang putus...

Masalah butang 'volume down' tidak berfungsi selesai setelah litar yang putus telah saya sambung kembali seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selamat berDIY...

Tuesday, 30 May 2023

Entry Point Tetapan Pemasangan Baru dekoder ASTRO

Sebelum ini saya pernah kongsikan cara bagaimana melakukan 'restore factory settings' pada dekoder  Astro seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana memilih 'entry point' tetapan pemasangan baru setelah melakukan 'restore factory settings'. Setakat ini saya dapati terdapat 3 'entry point' yang pernah dan telah saya pilih seperti boleh dilihat pada gambar-gambar di bawah.

12 M3 VL - 11682

Kedua-dua pemilihan 'entry point' seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah pernah saya kongsikan sebelum ini di sini dan sini.

08 M3B VL - 10892

Pemilihan 'entry point' yang terbaru saya temui ialah seperti boleh dilihat pada gambar di bawah iaitu '19 FUTURE 1'.

19 FUTURE 1

'Entry Point' berbeza-beza adalah disebabkan perbezaan siaran yang ditawarkan untuk pakej NJOI dan jika anda melanggan pakej berbayar, saya yakin 'entry point' juga akan berbeza.

Dengar khabar banyak siaran tiada pada pakej NJOI sekarang dan saya pernah diberitahu siaran AEC juga telah dikeluarkan. Itu lah punca kenapa orang ramai memilih untuk membaiki dekoder yang rosak.

2 klip video di atas dan di bawah menunjukkan cara-cara melakukan Tetapan Pemasangan Baru (New Installation Settings) yang sempat saya rakam baru-baru ini.

Selamat berDIY...

Sunday, 28 May 2023

SAMSUNG UA43K5100AK flickering/double image LED TV repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk TV sedemikian dengan masalah yang lebih serius serta tidak berjaya dibaiki dan anda boleh rujuk di sini.

Hari ini saya kongsikan pengalaman baru membaiki TV jenis LED serupa dengan masalah layar berlapis-lapis atau 'double image/flickering' seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Setelah penutup belakang dibuka...

Saya telah lama mengetahui cara penyelesaian masalah sedemikian namun tidak berpeluang mencuba sebab tiada kerosakkan sedemikan dirujuk sebelum ini.

Sambungan T-con ke skrin LED

Masalah sedemikian terjadi sebab terdapat perbezaan 'interface' di antara kedua-dua belah skrin TV. Jadi apa yang perlu dicari ialah sebelah mana TV yang bermasalah dengan mencabut sambungan pada T-con dan uji TV.

Buka & cuba satu per satu...

Masalah TV ini ialah pada sebelah kiri sebab setelah saya cabut sambungan kiri pada T-con dan diuji, tiada lagi masalah 'flickering/double image' seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Jadi, apa yang saya lakukan ialah tutup 10 pin ribbon sebelah kiri dengan menggunakan selotape seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Tutup sebahagian menggunakan selotape...

Masalah 'flickering/double image' pada TV ini selesai dengan hanya menutup sebahagian penyambung ribbon bahagian kiri menggunakan selotape sahaja dan klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya.

Selamat berDIY...

Thursday, 25 May 2023

400W - 12V, 33A LED rainproof power supply repair

PSU ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini. Dari label, ianya dibeli pada 27/12/2018 dan dirujuk untuk dibaiki sebelum ini pada 05/10/2020.

Masalah lepas ialah voltan output terlalu tinggi (normal - 12v) namun kali ini masalahnya ialah voltan output tidak mencukupi (terlalu rendah) serta tidak stabil seperti boleh ditonton pada klip video di atas.

Litar pintas pada sebiji mosfet...

Setelah dibuka serta diperiksa dengan mata kasar, tiada komponen yang meragukan dan pemeriksaan menggunakan multimeter mendapati sebiji mosfet dengan label 13N500 mengalami litar pintas.

N-Channel mosfet (13N500)

Cara mengenalpasti mosfet elok/rosak pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Gantikan mosfet baharu...

PSU ini berjaya diselamatkan buat kali kedua setelah dengan hanya menggantikan sebiji mosfet sahaja dan masih boleh digunakan semula.

PSU ini digunakan untuk lampu papan tanda (signage) dan ianya hanya mampu bertahan kira-kira 2 tahun sahaja.

  1. 27/12/2018 - Tarikh dibeli/dipasang
  2. 05/10/2020 - Pertama kali dibaiki
  3. 24/05/2023 - Dibaiki semula
Rekod telah dibaiki...

Selamat mencuba...

Monday, 22 May 2023

TOYOTA instrument cluster repair

Baru-baru ini saya terjumpa dua klip video DIY membaiki 'instrument cluster' untuk kereta TOYOTA dan saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman agar pemilik tidak menyesal di kemudian hari kelak.

Apa yang dikongsikan pada klip video di atas dan di bawah ialah menggantikan perintang berlabel R64 (393) dengan nilai 39kΩ menggunakan 0Ω.

Untuk pengetahuan semua, 'instrument cluster' yang pernah saya kongsikan sebelum ini di sini, sini dan sini semuanya telah berusia lebih dari 10 tahun. Ini membuktikan bahawa litar yang direka itu berkualiti namun gagal berfungsi akibat kerosakkan komponen 'wear & tear' terutamanya kapasitor.

R64 (393)

Menggantikan perintang dengan nilai berbeza dari asal itu adalah ubahsuai (modify) dan ianya boleh menyebabkan kerosakkan teruk kelak.

Fungsi perintang ialah untuk mengurangkan arus elektrik atau menjana arus elektrik yang lebih tinggi ke bahagian tertentu litar bersesuaian dengan rekaan litar masing-masing.

Cara membaiki yang betul ialah menggantikan komponen yang rosak sahaja dan bukannya mengubahsuai litar dengan menukar 'rating' komponen asal.

Fikir-fikirkan...

Saturday, 20 May 2023

Bagaimana azan menggangu saya?

Saya telah menghuni di rumah tempat tinggal sekarang selama kira-kira 18 tahun iaitu sejak tahun 2005 dan selesa tanpa sebarang masalah selama ini.

Kebelakangan ini saya sering mengalami masalah kekurangan tidur serta lesu pada waktu siang serta tidak produktif ketika bekerja.

Ini berikutan saya kini sering terjaga awal pagi dan tidak dapat kembali tidur semula selepas itu. Saya terjaga sebab dikejutkan oleh lolongan anjing jiran setiap pagi. Dulu takda pula anjing jiran saya melolong setiap subuh tetapi kenapa kini setiap pagi kejadian sebegini berlaku?

Anjing-anjing jiran saya...

Seingat saya, jiran saya telah lama memelihara dua ekor anjingnya dan kadang-kadang ada juga menyalak serta menggangu saya terutamanya sewaktu tidur namun tidak seteruk sekarang iaitu melolong setiap subuh.

Baru-baru ini saya perasan serta dapati bahawa anjing jiran saya melolong setiap subuh setelah laungan azan dari surau/masjid berdekatan kedengaran.


Selama saya tinggal di situ jarang-jarang laungan azan kedengaran namun sejak awal tahun (2023) lagi saya telah perasan laungan azan kedengaran setiap hari dan ini memberitahu saya bahawa pihak surau/masjid telah menambahkan kenyaringan sistem pembesar suara mereka.

Saya juga perasan sewaktu bulan puasa lepas, bukan sahaja azan jelas kedengaran namun seperti ada ceramah selepas azan.

Jika boleh saya memang nak maklumkan kepada pihak surau/masjid mengenai perkara ini sebab ianya kini telah menggangu orang ramai terutamanya saya.

Mungkinkah saya juga perlu memberitahu jiran saya yang anjing-anjingnya kini telah menggangu saya setiap pagi?

Jika saya buka mulut, mesti akan ada yang kecil hati termasuk jiran (tuan punya anjing) serta dicop menghina agama mereka (pihak surau/masjid).

Masalah tidak cukup tidur saya telah diketahui iaitu terbangun awal setiap pagi akibat lolongan anjing jiran setelah mendengar laungan azan dari surau/masjid berdekatan.

Mungkin saya boleh hapuskan anjing jiran dahulu dan sekiranya tidak menyelesaikan masalah juga, apa yang perlu saya lakukan agar laungan azan tidak lagi menggangu saya serta orang ramai setiap pagi?

Jangan salahkan orang ramai jika sesuatu yang tidak diingini bakal berlaku suatu hari kelak.

Fikir-fikirkan...