Thursday, 29 June 2023

SAMSUNG UA40H4200AR with blinking backlight repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman dirujuk sebuah TV berjenama SAMSUNG, model UA40H4200AR dengan masalah lampu backlight berkelip-kelip setelah dibekalkan arus elektrik seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Sebelum ini saya belum pernah dirujuk TV dengan masalah sedemikian. Saya jangkakan ianya mungkin disebabkan kerosakkan lampu backlight atau mungkin PSU (power supply unit) gagal membekalkan arus elektrik yang mencukupi untuk kegunaan backlight.

SAMSUNG UA40H4200AR

Setelah penutup belakang dibuka, pemeriksaan awal mendapati lampu backlight masih elok. Caranya ialah dengan cabut kabel yang disambung dari PSU ke mainboard dan lampu backlight menyala tanpa masalah.

Setelah penutup belakang dibuka...

Seterusnya saya buka PSU untuk membuat pemeriksaan dan saya dapati banyak terminal komponen yang berkarat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

PSU...

Pemeriksaan dengan teliti mendapati salah satu inductor dengan label BE9102 pada PCB tiada keterusan bila diperiksa dengan menggunakan multimeter.

terminal BE9102 berkarat dan tiada keterusan...

Salah satu terminalnya putus setelah saya cuba kikis bahagian yang berkarat seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bahagian terminal yang berkarat putus...

Pemeriksaan pada inductor tersebut masih elok dan saya cuba baiki dengan membersihkan terminal yang berkarat dan sambungkannya dengan menggunakan dawai ke papan litar semula.

Sambungkan bahagian putus dengan dawai...

Gambar di bawah menunjukkan keadaan setelah terminal inductor yang putus telah saya sambung semula ke papan litar.

Siap...

Masalah lampu backlight berkelip-kelip selesai dengan hanya menyambungkan terminal inductor yang putus sahaja ianya telah berjaya diselamatkan tanpa sebarang kos.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Monday, 26 June 2023

Butterfly Hot Plate BHP-1621 repair

Hari ini saya dirujuk sebuah dapur elektrik dan ianya dilabel 'Butterfly Hot Plate' model BHP-1621 dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Butterfly Hot Plate

Dapur elektrik ini menggunakan elemen pemanas dan ianya kelihatan usang seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Model: BHP-1621

Benda pertama yang saya periksa ialah fius pada plugtop dan ianya masih elok.

Setelah dibuka...

Seterusnya saya buka dan periksa elemen pemanas dan kedua-duanya juga elok. Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui thermal fuse putus.

Thermal fuse putus - 16A, 240°C

Rating thermal fuse yang digunakan ialah 16A, 240°C dan biasanya akan dipasang berdekatan dengan elemen pemanas seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Gantikan thermal fuse baharu...

Masalah selesai setelah thermal fuse tersebut telah saya gantikan dan fungsi thermal fuse tersebut adalah untuk keselamatan jika pengguna terlupa padam bekalan sewaktu tidak digunakan.

Selamat berDIY...

Friday, 23 June 2023

SAMSUNG AA59-00607A remote control repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk alat kawalan jauh seperti ini untuk di baiki dan anda boleh rujuk di sini.

SAMSUNG AA59-00607A

Masalah alat kawalan jauh ini ialah beberapa butang tidak berfungsi bila ditekan seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah iaitu:-

  1. Butang 'power'
  2. Butang 1, 2, 3 & 4
  3. Butang 'source'
Butang gagal berfungsi bila ditekan...

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan ada litar pada papan litar telah putus dan misi yang harus dilakukan ialah mencari bahagian yang telah putus dan sambungkan kembali.

Litar putus...

Gambar di atas adalah lokasi litar yang putus telah saya jumpa dan gambar di bawah menunjukkan litar yang putus telah saya sambung kembali.

Sambungkan litar yang putus...

Klip video di bawah saya rakam sewaktu mengujinya selepas litar yang putus telah saya sambung kembali ianya telah berjaya diselamatkan.

Selamat berDIY...

Tuesday, 20 June 2023

Tukar drive shaft boot Perodua Kelisa

Baru-baru ini saya telah dapati drive shaft sebelah penumpang (kiri) kereta perodua kelisa saya ada kebocoran seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Drive shaft kiri bocor...

Setelah diperiksa masalanya ialah getah (drive shaft boot) telah koyak dan minyak gris mengalir keluar seperti boleh dilihat pada gambar dibawah.

Drive shaft boot koyak...

Kerosakkan sedemikian harus ditangani segera sebab jika terlambat boleh merosakkan keseluruhan drive shaft apabila telah dimasuki pasir.

Proses keluarkan drive shaft...


Untuk menukar drive shaft boot, keseluruhan drive shaft harus dikeluarkan dan saya diberitahu upahnya RM40.00. Saya beli drive shaft boot baru dengan harga RM18.00 sebiji.

Drive shaft boot yang telah koyak...

Gambar di atas adalah keadaan drive shaft boot yang telah rosak sewaktu dibuka dari bahagian gearbox.

Drive shaft telah dikeluarkan...

Klip yang telah saya tandakan pada gambar di bawah perlu dibuka untuk mengeluarkan bearing sebelum drive shaft boot yang baru boleh dipasang.

Buka klip & keluarkan bearing...

Setelah getah baru ditukar, minyak gris khas untuk drive shaft perlu disimpan pada bahagian dalam sebelum dipasang kembali.

Pasang pengapit (clamp) supaya tidak bocor...

Pengapit (clamp) pada sebelah kiri dan kanan getah juga perlu dipasang dengan ketat untuk elak sebarang kebocoran minyak yang telah dilumurkan didalamnya.

Siap...

Setelah siap ditukar saya diminta membayar RM60.00 dan bukannya RM40.00 seperti yang diberitahu sebelumnya.

Katanya RM40.00 untuk upah buka serta pasang sahaja & RM20.00 lagi upah menukar getah. Saya terkilan juga sebab lain yang diberitahu, lain yang dibayar. Kenapa tak cakap saja upah keseluruhan menukar drive shaft boot RM60.00 kepada kita dari awal?

Dalam masa yang sama saya juga berminat minyak enjin di bengkel sama yang dilabel dengan harga RM120.00 sebotol. Saya ada minta diskaun namun tidak dilayan.

Untuk pengetahuan semua, saya boleh dapatkan minyak injin yang sama dengan harga di bawah RM100 termasuk kos penghantaran di shopee seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Kenapa kita perlu berbelanja lebih untuk dapatkan barang yang sama?

Jika dilihat pada harga minyak injin yang saya kongsikan di atas, harga di Borneo adalah sekali ganda berbanding harga di Malaya...

Saturday, 17 June 2023

Robot Coupe R 301 Ultra D blender

Banyak pengisar seperti ini pernah saya baiki serta kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Robot Coupe R301 Ultra D

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi pengisar yang serupa namun model R301 Ultra D seperti boleh dilihat pada gambar di atas serta label di bawah.

Model: R 301 Ultra D

Masalah pengisar ini sewaktu dirujuk kepada saya ialah ianya langsung tidak berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Setelah penutup bawak dibuka...

Setelah dibuka serta diperiksa termasuk papan litar, saya tidak menemui sebarang kerosakkan pada komponen yang sering rosak bedasarkan pengalaman lepas.

Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui bahagian bawah motor telah retak/pecah seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Kesan akibat daripada pengandar motor yang patah/retak ialah motor bersentuh kepada bahagian stator dan gagal berpusing.

Pengisar ini gagal diselamatkan sebab bahagian yang patah/retak tidak dapat disambung kembali. Jika ada alat ganti untuk bahagian bawah motor tersebut dan diganti, ianya masih boleh digunakan semula.

Selamat berDIY...

Wednesday, 14 June 2023

TOYOTA instrument cluster repair

Bulan lepas saya dirujuk sebuah lagi 'instrument cluster' untuk kereta berjenama TOYOTA dengan masalah jarum tolok minyak sahaja gagal berfungsi.

TOYOTA instrument cluster

Pengalaman membaiki masalah sedemikian telah serta pernah saya kongsikan sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini dan sini.

13/06/2012

Setelah dibuka serta diperiksa papan litarnya, kali ini kerosakkannya ialah pada 3 biji kapasitor dengan nilai 10uf, 35v dan loksainya telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Setelah penutup belakang dibuka...

Tujuan saya kongsikan masalah yang serupa kali ini ialah untuk memberitahu para DIY/pembaca bahawa walaupun masalah serupa tetapi komponen yang bermasalah adalah berbeza.

Siap...

Pemeriksaan dengan peralatan (tools) yang bersesuaian adalah wajib untuk menentukan komponen yang perlu diganti. Maksudnya, seandainya anda ada masalah serupa dan anda ikut 100% apa yang saya kongsikan, belum tentu anda boleh menyelesaikan masalahnya.

9.6Ω

Gambar-gambar di atas dan di bawah menunjukkan bacaan ESR kapasitor yang telah saya gantikan. Walaupun bacaan nilai kapasitan normal (10uf) namun masalahnya ialah disebabkan bacaan ESR sangat tinggi iaitu 9.6Ω, 11Ω & 17Ω. Bacaan ESR yang elok untuk kapasitor 10uf, 35v ialah tidak melebihi 2.2Ω.

11Ω

Masalah jarum tolok minyak gagal berfungsi selesai setelah dengan hanya menggantikan ketiga-tiga kapasitor di atas sahaja.

High ESR - 17Ω

Gambar di bawah adalah keadaan 'instrument cluster' setelah dibaiki dan diuji tanpa masalah lagi pada tolok minyak.


Selamat berDIY...

Sunday, 11 June 2023

Amoi forklift

Hari ini saya kongsikan sesuatu yang jarang-jarang ditemui dalam kegiatan harian masyarakat kita di Malaysia.

Lady forklift operator

Majoriti kerja melibatkan jentera biasanya dikendalikan oleh kaum lelaki dan kemungkinan satu dalam seribu/sejuta sahaja melibatkan kaum wanita ditemui.

Klip video di atas saya rakam sewaktu melawat sebuah kedai runcit/borong di Miri, Sarawak baru-baru ini.

Saya telah menemui beliau mengendalikan jentera forklift tersebut beberapa kali sebelum ini namun gagal merakamnya sebab tak muncul-muncul lagi selepas itu.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kelancaran beliau mengendalikan forklift tersebut. Kata orang 'practice makes perfect', dan saya yakin beliau telah lama mengendalikan jentera forklift tersebut.

Saya telah meminta kebenaran beliau sebelum membuat rakaman untuk dikongsikan kepada orang ramai di laman YouTube saya.

Thursday, 8 June 2023

SHARP R202ZS microwave repair

Baru-baru ini saya telah dirujuk sebuah microwave berjenama SHARP R202ZS dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak panas.

SHARP R202ZS

Masalah microwave yang tidak panas biasanya hanya melibatkan bahagian voltan tinggi (high voltage) sahaja.

Model: R202ZS

Setelah dibuka dan diperiksa semua komponen voltan tinggi, saya tidak menemui sebarang komponen yang rosak.

Setelah penutup belakang dibuka...

Pemeriksaan dengan teliti cuma menemui salah satu terminal pada magnetron berkarat dan boleh dilihat pada gambar di bawah.

Terminal sambungan berkarat...

Memandangkan tiada komponen yang rosak ditemui selain terminal magnetron yang berkarat, saya bersihkan bahagian yang berkarat dengan menggunakan kikir sehingga bersih seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Kikis guna kikir sehingga bersih...

Percaya atau tidak, masalah tidak panas pada microwave ini selesai dengan hanya membersihkan terminal magnetron yang berkarat sahaja.

Selamat berDIY...

Monday, 5 June 2023

PiRO MW-88 amplifier repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman dirujuk sebuah amplifier berjenama PiRO, model MW-88 dengan masalah gagal berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

PiRO MW-88

Menurut pemilik, amplifier ini digunakan di rumah burung walit dan ianya baru dibeli beberapa bulan yang lepas namun tidak dapat tuntut 'warranty' sebab resit telah hilang.

Model: MW-88

Setelah dibuka dan diperiksa, masalahnya ialah bahagian 'power supply' tidak menjana bekalan elektrik 12v untuk kegunaan amplifier tersebut.

SMPS - komponen yang rosak...

Komponen yang didapati rosak pada 'power supply' jenis SMPS tersebut ialah:-

  1. Fius utama 2A
  2. Litar pintas pada recifier
  3. Litar pintas pada mosfet berlabel 3568 (2SK3568)
Gantikan SMPS dengan transformer...

Masalah yang saya hadapi kali ini ialah tiada bekalan mosfet di tangan dan pemilik perlukannya pada kadar segera.

Komponen menggantikan SMPS...

Jadi, saya terpaksa membuat 'power supply' bagi menggantikannya dengan menggunakan transformer seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Gambar di bawah adalah skematik 'power supply' yang telah saya buat dan ianya boleh digunakan tanpa masalah setelah diuji berjam-jam.

Schematic - PSU 12vdc

Keterangan lanjut cara-cara membuat 'power supply' tersebut juga boleh ditonton pada klip video di bawah.

Selamat berDIY...