Friday, 29 January 2021

PRODIO KA-D3 karaoke digital amplifier repair

Lewat petang semalam saya dirujuk sebuah amplifier berjenama PRODIO, Model KA-D3 buatan Jepun (made in Japan) dengan masalah lampu pada pelaras suara (volume) berkelip-kelip tanpa henti setelah dibekalkan arus elektrik.

PRODIO karaoke digital amplifier













Amplifier moden kini dilengkapi dengan sistem keselamatan dan sekiranya bermasalah ia tidak membenarkan kita untuk menggunakannya.

Model: KA-D3

Secara amnya, apabila butang 'power' ditekan, sistem keselamatan amplifier akan membuat pemeriksaan dan sekiranya tiada masalah ianya akan disusuli dengan bunyi 'klik'. Bunyi 'klik' tersebut menandakan proses pemeriksaan telah selesai dan 'relay' telah dihidupkan.

Setelah penutup dibuka...

Masalah pada amplifier ini ialah boleh dihidupkan namun tidak lulus pemeriksaan dan 'relay' gagal dihidupkan dengan indikator lampu pada pelaras suara berkelip-kelip.

Amplifier PCB

Saya mulakan pemeriksaan pada bahagian amplifier dan gambar di atas adalah papan litarnya. Pemeriksaan menyeluruh tidak menemui sebarang komponen yang rosak.

B31N20D mosfet digunakan sebagai amplifier

Seterusnya saya periksa pula bahagian PSU (power supply unit) dan gambar di bawah adalah papan litarnya. Sekali imbas, tiada komponen yang rosak boleh dilihat dengan mata kasar.

PSU

Pemeriksaan pada papan litar mendapati dua biji perintang berwarna 'coklat, hitam, emas, emas' dengan nilai 1Ω mempunyai bacaan meragukan. Bacaan yang saya dapat diikuti huruf 'k' pada multimeter digital yang membawa maksud di atas seribu ohm.

perintang 1Ω meragukan...

Selain dua biji perintang yang mempunyai bacaan meragukan, saya tidak menemui komponen lain yang meragukan dan perlu dibuat pemeriksaan lanjut.

174kΩ

Setelah kedua-dua perintang saya keluarkan dari papan litar dan diukur semula, sah bacaannya beribu ohm seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

396kΩ

Jika anda menemui perintang 1Ω pada papan litar, fungsinya ialah sebagai fius dan akan putus jika ada litar pintas. Kedua-dua perintang di atas tidak putus namun rintangannya terlalu tinggi dan menyebabkan arus elektrik yang melaluinya terlalu sedikit serta gagal pemeriksaan keselamatan ketika dihidupkan.

Perintang 0.5

Memandangkan hari telah lewat petang dan kedai elektronik pun telah tutup, saya gunakan perintang paling hampir dengan 1Ω yang saya ada iaitu 0.51Ω (hijau, coklat, perak, emas) seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Setelah kedua-dua perintang telah saya gantikan dan diuji, amplifier tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula.

Klip video di bawah saya rakam ketika mengujinya setelah siap dibaiki dan anda boleh lihat lampu indikator pada pelaras suara berkelip-kelip setelah butang 'power' saya tekan. Bunyi 'klik' kedengaran selepas itu dan lampu indikator akan berhenti berkelip menandakan pemeriksaan telah selesai serta 'relay' telah dihidupkan.


Selamat mencuba...

2 comments:

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.