Monday, 11 May 2020

Kenapa tayar berwarna hitam?

Pernahkah anda terfikir kenapa tayar kereta berwarna hitam, dan bukan kuning, biru, hijau atau merah? Bukankah getah dan plastik boleh disapukan pelbagai warna dengan hanya menambah pewarna atau bahan kimia ketika proses pengeluaran.
Namun, kebanyakan tayar jenis pneumatik, yang boleh diisi udara mampat seperti basikal, kereta serta kenderaan pembinaan, adalah berwarna hitam. Malah, warna itu sudah wujud sejak awal pengeluaran kenderaan dahulu.

Persoalannya, kenapa? Apakah ada alasan spesifik mengenai pemilihan warna tersebut, atau hanya kebetulan.

Memang ada tayar berwarna berbeza, tetapi itu tidak bermakna ia sesuai untuk kegunaan harian. Ironinya, tayar hitam yang mungkin nampak membosankan bagi sesetengah orang, itulah tayar paling reliabel. Tayar hitam memiliki jangka hayat lebih lama dan juga lebih selamat.

Faktanya, penggunaan warna hitam adalah usaha pengeluar untuk memanjangkan hayat tayar. Warna berkenaan berasal daripada campuran bahan kimia penstabil dan polimer tayar ketika proses pengeluaran. Bahan kimia itu dinamakan karbon hitam (black carbon) yang ditambah bagi melindungi tayar daripada kerosakan akibat panahan ozon dan sinaran ultra-ungu (UV)

Pengeluar mendapati apabila karbon hitam ditambah, secara drastik jangka hayat tayar dapat dilanjutkan. Ini membuatkan semua pengeluar tayar menggunakan bahan tambahan sama untuk produk masing-masing. Karbon hitam juga mempunyai keupayaan untuk menahan kesan kakisan ozon dan menyerap sinar UV untuk menukarkannya menjadi panas.

Kenapa perlu untuk tayar menjadi panas?

Sebenarnya, gejala panas adalah lebih baik kerana apabila tayar  menyejuk atau memanas, ia dapat mengembang atau menguncup untuk menampung tambahan tekanan yang mana ozon akan menyerang molekul dan ikatan kimia, sekali gus melemahkan kekuatan tayar. Proses pengembangan dan pengecutan sebenarnya mampu meminimumkan kerosakan dan bahaya tayar.

Hasilnya, tayar kini lebih selamat dan tahan lama. Disebabkan UV dan ozon menjadi faktor terbesar yang menyumbang kepada masalah tayar reput, sangat penting melindungi komponen itu untuk keselamatan dan prestasi. Tanpa bahan tambahan seperti karbon hitam, tayar akan lebih cepat reput dan kering.

Malangnya, dari semasa ke semasa, penyerapan kimia daripada karbon hitam tetap juga akan habis dan hilang keberkesanan. Bahan itu akan lenyap dan tidak mampu lagi menukar kesan UV kepada panas, termasuk menjejaskan tahap serapan ozon.

Disebabkan aditif karbon hitam hilang abiliti, ia akan mengubah warna tayar menjadi kelabu cerah. Ini salah satu sebab utama tayar hitam akan pudar dan berubah menjadi hampir putih seiring usianya.

Jadi, jika warna kehitaman tayar kenderaan anda telah pudar, tiba masanya untuk menukarnya dengan yang baru.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.