Friday, 31 January 2020

Karcher T191 vacuum cleaner repair

Penyedut hampagas seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini.
Karcher T191
Masalahnya ketika dirujuk kepada saya ialah langsung tidak dapat dihidupkan. Penyedut hampagas ini pernah dan telah dirujuk kepada saya sebanyak dua kali sebelum ini dan masalahnya ialah wayar penyambung tanggal seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.
Setelah penutup dibuka...
Sebelum ini saya cuma sambung balik wayar yang tertanggal dan saya kembalikannya kepada pemilik. Saya rasa ada yang tak kena sebab wayar yang sama tanggal dan jika saya cuma sambungkan kembali wayar tersebut sahaja, saya yakin masalah yang sama akan berulang.

Saya juga dapati motor tersebut boleh bergerak ketika saya cuba pusing motornya dan akhirnya saya dapati dua biji skrunya telah hilang seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.
Kunci balik skru serta sambung balik wayar yang tertanggal...
Saya gantikan skru yang telah hilang serta ketatkan ketiga-tiga skru tersebut dan apabila saya cuba pusing motornya semula, kali ini tidak bergerak lagi. Saya juga sambung kembali wayar yang tertanggal dan diuji tanpa sebarang masalah lagi. Saya juga yakin lepas ini masalah yang sama tidak akan berulang lagi.

Saya tidak tahu kenapa skrunya boleh hilang dan saya tidak menjumpainya pada bahagian dalam penyedut hampagas tersebut. Kemungkinan ianya pernah dibuka seseorang dan lupa memasangnya kembali.
Tested - ok
Selamat mencuba...

Thursday, 30 January 2020

RUCKUS adapter (SMPS) repair

Adapter berjenama RUCKUS seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini dan sini.
Inductor putus...
Hari ini saya dirujuk sebiji lagi adapter yang sama dengan masalah voltan output tidak stabil iaitu diantara 8vdc - 11vdc apabila diukur dengan multimeter. Adapter ini sepatutnya menghasilkan output 12vdc.
Kiri: inductor rosak, Kanan: Inductor baru
Pemeriksaan awal menjumpai sebiji inductor putus seperti boleh dilihat seperti pada gambar di atas. Sebelum inductor tersebut ditukar, voltan pada kapasitor utama cuma kira-kira 125vdc sahaja dan jauh lebih rendah daripada normal iaitu 350vdc hingga 385vdc.
Siap...
Setelah inductor tersebut ditukar dan diuji, masalah voltan output tidak stabil telah selesai dan voltan pada kapasitor utama kini kira-kira 360vdc.
Tested - ok
Selamat mencuba...

Wednesday, 29 January 2020

SAMSUNG UA43K5100AK COF ic faulty

Hari ini saya kongsikan sesuatu yang memerlukan kepakaran serta peralatan khas untuk membaikinya.
Jenama: SAMSUNG
TV LED kali ini berjenama SAMSUNG, Model: UA43K5100AK dengan masalah skrin yang mempunyai garis menegak pada bahagian bawah sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas.
Model: UA43K5100AK
Ini merupakan kali pertama saya dirujuk masalah TV sedemikian dan untuk mengetahui kerosakkannya kita harus buka dan periksa.
Gambar bahagian bawah bermasalah...
Gambar di bawah menunjukkan papan litar yang kelihatan setelah penutup belakang dibuka dan untuk makluman semua setelah diperiksa, kesemuanya masih elok dan tidak bermasalah.
Setelah penutup belakang dibuka...
Masalahnya ialah pada bahagian yang telah saya tandakan pada gambar di bawah di mana setiap penyambung mempunyai sebiji ic (Integrated Circuit) dan dikenali sebagai COF ic.  COF adalah singkatan untuk 'chip on film'
Lokasi COF ic...
Terdapat empat penyambung tersebut dan setiap satunya mempunyai sebiji COF ic. Hari ini saya cuma mampu mengenalpasti penyebab kerosakkannya dan setakat ini saya belum pernah menukar COF ic pada mana-mana TV.
COF ic
Kepakaran serta peralatan yang saya ada tidak mencukupi dan di tempat saya juga tiada kepakaran menukar COF ic setakat ini.
sambungan ke skrin LED...
Video klip di bawah menunjukkan cara manual bagaimana menukar COF ic tersebut jika anda berhajat untuk mencuba membaikinya sendiri.
Selamat mencuba...

Tuesday, 28 January 2020

VORTICE ECODRY IPX4 automatic hand dryer repair

Hari ini merupakan hari pertama saya memulakan kerja setelah 9 hari (Jan 19, 2020 - Jan 27, 2020) bercuti sempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, 2020. Seperti biasa hari pertama bekerja pastinya sangat sibuk dan saya kongsikan sebuah alat pengering tangan yang pernah saya baiki sebelum ini berjenama VORTICE dan anda boleh membacanya di sini.
Setelah penutup dibuka...
Masalahnya ketika dirujuk kepada saya ialah kipas tidak berpusing namun pemanasnya merah menyala.
Kipas bergesel dengan bahagian penutup...
Setelah dibuka, saya dapati kipas bergesel dengan penutupnya seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Pergeseran tersebut adalah berpunca dari skru yang mengunci kipas tersebut longgar.
Skru kipas longgar...
Pemeriksaan menyeluruh mendapati 'thermal fuse' dan kapasitor didapati rosak dan telah saya gantikan dengan yang baru. Cara menukar 'thermal fuse boleh anda baca pada artikel yang lepas di sini.
Komponen yang rosak...
Setelah kedua-dua komponen tersebut ditukar dan diuji, alat pengering tersebut kembali berfungsi seperti biasa.
Siap...
Saya tidak pasti apa punca kerosakkan kali ini. Ada dua kemungkinan sahaja iaitu:-
  1. Kapasitor rosak, kipas tidak berpusing dan menyebabkan motor kipas panas melampau sehingga 'thermal fuse' putus. Ada juga kemungkinan pemanas yang menyebabkan motor kipas panas melampau sebab kedudukannya di atas pemanas serta kipas tidak berpusing sebab kapasitor telah rosak. ATAU
  2. Kipas berpusing dengan perlahan atau mungkin tidak berpusing akibat geseran pada penutup mengakibatkan motor kipas panas melampau dan 'thermal fuse' putus...
Selamat mencuba...

Monday, 27 January 2020

Bahaya Limau Mandrin

Limau mandrin...
Limau mandarin antara penyebab meningkatnya gejala sakit tekak dimusim perayaan.

Limau sangat kaya dengan vitamin C dan ia sepatutnya menghalang kita dari gejala sakit tekak.

Namun begitu, bilangan pesakit yang menghidap gatal dan sakit tekak serta batuk bertambah sekali ganda dalam musim perayaan dan apakah kaitannya dengan limau mandarin tersebut?

Pengusaha buah-buahan memang ada menggunakan sejenis bahan kimia iaitu 'Sulphur dioxide'. Buah limau ini akan direndam terlebih dahulu kedalam cecair yang mengandungi bahan kimia tersebut sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak untuk tujuan melindungi kulit limau dari dijangkiti bakteria, kulat dan serangga dan secara tidak langsung ia bertindak sebagai bahan pengawet supaya ianya dapat  bertahan lama sebelum dipasarkan.

Apa kesan 'Sulphur Dioxide' yang terdapat pada kulit limau  tersebut kepada manusia?

Ia boleh menyebabkan radang dan kesakitan tekak yang teruk, demam dan gejala batuk kering yang berpanjangan. Ia juga boleh menyebabkan sakit perut dan radang usus. Terdapat juga kes alahan seperti radang kulit dan serangan penyakit lelah.

Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
  1. Basuh atau rendam dahulu buah limau ini dan kemudian barulah dimakan.
  2. Pastikan jari yang terkena kulit limau yang tidak dibasuh tidak tersentuh dengan isi limau yang hendak dimakan.
  3. Sekiranya perlu, pakailah sarung tangan plastik ketika mengopek limau!
Semoga anda kekal sihat dimusim perayaan ini.

Pesanan ringkas 'Tips kekal sihat dimusim perayaan' ini ditulis oleh Dr. Rosli Abd Jalil.

Sumber

Sunday, 26 January 2020

Kuih Pulut (xi)

Hari ini saya kongsikan satu makanan tradisi kaum tionghua berasaskan beras pulut.
"Xi" diperbuat dari tepung pulut...
Saya tidak pasti apa namanya dalam bahasa Malaysia namun dalam bahasa ibunda saya iaitu foochow ianya dipanggil "xi".
Potong kecil-kecil...
"Xi" merupakan makanan pertama di pagi tahun baharu cina pada hari pertama. "Xi" di buat pada malam sebelumnya iaitu setelah "reunion dinner".
Goreng dengan api yang kecil...
Cara membuat "xi" sangat mudah iaitu menggunakan tepung beras pulut serta tepung beras biasa sahaja dan caranya ialah:-
  1. Campur tepung beras pulut dengan sedikit air dan gaul sehingga ianya seperti adunan membuat roti (bread).
  2. Buatkan adunan bentuk bulat sebesar tapak tangan seperti gambar pertama di atas dengan ketebalan kira-kira setengah inci.
  3. Rebus adunan di dalam air mendidih sehingga timbul.
  4. Setelah timbul masukkannya ke dalam tepung beras biasa supaya tidak melekat dan simpan di atas daun pisang semalaman seperti boleh dilihat pada gambar pertama di atas.
    Goreng sehingga warnanya kekuningan seperti biskut...
    Pada pagi berikutnya, "xi" akan dipotong kecil-kecil dan digoreng dengan sedikit minyak sehingga warna kekuningan seperti gambar di atas. Tujuan digoreng dengan minyak ialah supaya ianya sedikit rangup dan tidak melekat di antara satu sama lain.
    Masukkan air...
    Kemudian tambah air serta gula dan didihkan sehingga airnya pekat.
    Tambah gula...
    Rupa "Xi" yang telah siap untuk dimakan adalah seperti pada gambar di bawah.
    Siap untuk dimakan...
    Selamat menjamu selera...

Saturday, 25 January 2020

Pork Leg recipe

Hari ini merupakan hari pertama perayaan tahun baharu cina, 2020.
Kaki depan babi...
Masakan ibu adalah yang paling sedap di dunia, sebabnya ialah kerana dari kecil kita dibesarkan dengan resipi masakan ibu.
Potong...
Semalam merupakan hari paling penting di ambang perayaan tahun baharu cina dan semua ahli keluarga akan bergumpul untuk makan bersama atau juga dikenali sebagai 'reunion dinner'.
Cuci...
Hari ini saya kongsikan salah satu resipi ibu memasak kaki babi yang harus ada saban tahun ketika 'reunion dinner,'.
Sediakan rempah ratus...
Bahan-bahan yang diperlukan ialah:-

  1. Kaki babi
  2. Halia
  3. Bawang besar
  4. Bawang putih
  5. Buah keras
  6. Kacang hitam
  7. Sotong kering
  8. kulat kering (dry mushroom)
  9. Red wine
  10. Fungus putih

Masukkan ke dalam belanga...
Semua bahan di atas dibersihkan dan dimasukkan ke dalam belanga dengan air (kecuali halia dan fungus putih) untuk dimasak perlahan sehingga daging masak serta lembut untuk dimakan.
Goreng halia hingga dapat aromanya...
Daging kaki babi harus digoreng terlebih dahulu dengan halia untuk menghilangkan bau yang tidak diingini oleh sesetengah orang. Caranya ialah:-

  1. Masukkan minyak dan goreng halia sehingga bau aromanya semerbak...
  2. Kemudian masukkan daging kaki babi dan sambung goreng...
  3. Masukkan 'red wine' dan sambung goreng sehingga warna daging yang kemerah-merahan berubah warna kepada kelabu/coklat muda.
Masukkan daging dan goreng dengan 'red wine'...
Setelah proses mengoreng selesai, pindahkan daging yang telah digoreng ke dalam belanga yang berisi rempah ratus dan masak dengan api perlahan kira-kira 3 jam hingga 4 jam.
Pindahkan daging digoreng ke dalam belanga serta rempah...
Akhir sekali baru masukkan fungus putih ketika kesemua telah masak. Fungus putih tidak boleh dimasak terlalu lama, cukup sekadar rendam dengan masakan yang telah panas sahaja.
Akhir sekali masuk fungus putih...
Tambah garam secukup rasa mengikut citarasa masing-masing. Biasanya saya tak tambah garam lagi sebab masin dari sotong kering dah cukup mengikut citarasa saya...
Selamat menjamu selera...
Selamat menyambut tahun baharu cina, 2020 dan selamat menjamu selera...

Friday, 24 January 2020

JOVEN 880e water heater repair

Hari ini saya dirujuk sebuah 'water heater' berjenama JOVEN, Model: 880e dengan masalah lampu hijau tidak menyala dan tidak panas.
Joven 880e
Pemeriksaan pada lampu hijau yang tidak menyala adalah disebabkan salah satu terminalnya berkarat serta putus dan telah saya sambung kembali seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Lampu hijau tak menyala...

Seterusnya pemeriksaan pada flow sensor mendapati bahawa magnetnya tidak bebas bergerak dan setelah dibuka, keadaannya boleh dilihat seperti pada gambar di bawah. Flow sensor tidak dapat dibaiki dan perlu ditukar dengan yang baru.
Flow sensor rosak
Setelah flow sensor ditukar dan diuji, kadang-kadang lampu merah masih tidak menyala disebabkan reed sensor kurang sensitif dan jauh dari flow sensor. Bagi mengatasi masalah sebegini, cara untuk mendekatkan reed switch kepada flow sensor ialah dengan memindahkan reed sensor ke bahagian bawah papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
Reed switch dipindah ke bawah...
Setelah reed switch dipindahkan ke bahagian bawah papan litar dan diuji, kini masalah kadang-kadang tidak panas telah selesai dan kembali berfungsi seperti biasa.
Tested - ok
Selamat mencuba...

Thursday, 23 January 2020

Black Spot on remote control repair

Selama ini saya berpendapat bahawa jika skrin LCD pada alat kawalan jauh yang mempunyai tompok hitam seperti boleh dilihat pada gambar di bawah tidak dapat dibaiki lagi.

Alat kawalan jauh penghawa dingin samsung...

Alat kawalan jauh tersebut adalah milik saya sendiri dan tompok hitamnya semakin lama semakin membesar sehingga tidak boleh dilihat dengan jelas lagi seperti pada gambar di bawah.

Tulisan pada skrin LCD tidak jelas lagi...

Sebelum alat kawalan jauh tersebut dibuang dan digantikan dengan yang baru, saya cuba buka dan periksa, mana tahu ianya boleh dibaiki...

Setelah penutup belakang dibuka...

Jika anda ingin membuka alat kawalan jauh, pastikan ianya dibuka dengan cermat agar tidak merosakkan papan litar serta skrinnya.

Buka lagi sehingga skrin dikeluarkan...
Gambar di bawah menunjukkan rupa bahagian belakang skrin yang telah saya keluarkan dari papan litar.
'Reflector' bahagian belakang skrin rosak...

Apabila dibelek skrin LCD tersebut, saya dapati bahawa ianya dilekat dengan sekeping pelekat pada bahagian belakangnya dan saya cuba membukanya dengan menggunakan mata pisau pencukur seperti boleh dilihat seperti pada gambar di bawah.

Buka pelekat 'reflector' dari skrin...
Setelah pelekat tersebut saya buka, rupa-rupanya tompok hitam tersebut berada pada pelekat dan bukan pada skrin LCD seperti jelas kelihatan pada gambar di bawah.
'Reflector' telah dibuka...

Fungsi pelekat tersebut adalah sebagai 'reflector' untuk memantulkan cahaya supaya tulisan pada skrin LCD boleh dibaca.

Gantikan 'reflector' menggunakan 'aluminium foil'...

Jadi, saya cuba tukar pelekat tersebut dengan menggunakan 'aluminium foil' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Warna kelabu (silver) sangat sesuai dan anda juga boleh menggunakan apa-apa pelekat yang berwarna kelabu sebagai pengganti 'reflector' selain menggunakan 'aluminium foil' seperti yang saya gunakan.

Testing...

Saya gunakan bahagian belakang 'aluminium foil' yang kabur supaya ianya tidak silau dan gambar di atas menunjukkan 'reflector' lama telah saya gantikan dengan menggunakan 'aluminium foil' dan ianya masih boleh digunakan semula...

Tested - ok

Selamat mencuba...