Tuesday, 29 January 2013

Pusara Orang Tua Ku...

Setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini akan meninggalkan dunia ini suatu hari kelak. Ke mana kah anda pergi selepas meninggal dunia? Masing-masing ada jawapannya tersendiri. Saya berpendapat selepas kita meninggal dunia, destinasi terakhir kita ialah Kubur/pusara.

Saya berketurunan cina dan apa yang saya kongsikan hari ini ialah pusara orang tua saya. Ibu saya meninggal dunia pada 18/06/2009 setelah mengalami komplikasi akibat pembedahan membuang hempedu serta kecuaian pihak Hospital Umum Miri. Panjang ceritanya dan kalau ada masa terluang saya akan menceritakan lebih lanjut di sini.

Gambar berikut merupakan keadaan pusara orang tua saya ketika ibu baru meninggalkan dunia. Bagi orang cina, pusara orang tua adalah bersama (suami-isteri akan disemadikan bersama). Sebab kenapa harus disemadikan bersama saya tidak pasti, mungkin itu lah yang dimaksudkan sebagai 'sehidup semati'.

Sebelum (2009)

Pusara orang cina tidak berakhir seperti pada gambar di atas. Apa yang anda boleh lihat pada gambar di atas ialah untuk sementara waktu berikutan ketika ibu meninggal dunia, semuanya berlaku dengan sekelip mata dan persediaan adalah setakat yang termampu.

Bagi orang cina pusara merupakan rumah terakhir serta abadi dan harus dibuat oleh anak-anaknya. Saya pernah diberitahu oleh orang tua-tua bahawa jika pusara orang tua tidak disiapkan, generasi seterusnya tidak akan hidup aman dan sering mengalami masalah.

Gambar seterusnya merupakan pusara orang tua saya selepas disiapkan pada bulan ini (Januari 2013). Semoga ibu lebih tenang dan aman selepas ini. Tanggungjawab saya sebagai seorang anak boleh dikatakan berakhir di sini selain dari melawat serta membersihkan pusara orang tua setiap tahun ketika perayaan 'ching ming' iaitu pada bulan april setiap tahun.

Selepas (26/01/2013)

Berbalik kepada cerita orang tua-tua dulu yang mengatakan bahawa jika pusara orang tua tidak disiapkan, kehidupan generasi seterusnya akan bermasalah dan ianya telah berlaku pada saya setelah ibu meninggal dunia. Kehidupan saya semakin mencabar dari setahun ke setahun dan cabaran paling getir ialah pada hujung tahun lepas. Semoga segala cabaran yang bukan-bukan berakhir selepas ini...

Ibu, walaupun ibu telah tiada, saya masih ingat pesan serta hajat ibu ketika masih hidup. Semoga ibu lebih aman dan tentram di alam abadi. I miss you mum...

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.