Friday, 17 November 2017

Pemasak Nasi (Rice Cooker) repair

Hari ini saya diberi peluang untuk membaiki sebuah pemasak nasi berjenama SHARP, model: KSH-111. Tuan punya pemasak nasi ini kata ianya dibeli ketika baru mendirikan rumah tangga dan kini anak-anaknya telah besar panjang. Saya agak pemasak nasi ini sekurang-kurang telah berusia 20 tahun.

Memandangkan pemasak nasi ini mempunyai nilai sentimental kepada tuannya maka saya terpanggil untuk membaikinya. 
SHARP KSH-111
Ketika dirujuk kepada saya, ianya langsung tidak berfungsi dan saya diberitahu oleh tuannya bahawa ianya padam secara tiba-tiba ketika sedang memasak nasi.

Seperti biasa saya akan periksa fius serta kabelnya dan didapati tiada kerosakan. Seterusnya saya buka bahagian bawah pemasak nasi tersebut dan periksa satu per satu.
Pandangan bawah pemasak nasi
Tidak banyak benda yang perlu di periksa dan kerosakkannya ialah pada 'thermal fuse' seperti gambar di bawah.
Atas: thermal fuse rosak  Bawah: thermal fuse baru
Inilah kebaikan jika kita membeli peralatan eletrik berjenama, ianya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan iaitu 'thermal fuse'. Thermal fuse akan putus jika mencapai suhu tertentu seperti tertera pada thermal fuse tersebut. Thermal fuse yang digunakan pada pemasak nasi ini ialah 165C, bermaksud jika suhu melebihi 165C ia akan putus.

Peringatan: Jangan menggunakan 'soldering iron' untuk menyambungkan 'thermal fuse'. Haba dari 'soldering iron' akan menyebabkan 'thermal fuse' putus sebelum sempat digunakan.

Selain itu, 'thermal fuse' juga berfungsi sebagai fius biasa iaitu jika terdapat litar pintas pada bahagian pemanas ia juga akan putus. Oleh itu sebelum menggantikan 'thermal fuse' yang rosak, anda harus periksa pemanasnya seperti gambar di bawah.
Periksa juga pemanasnya...
Jika multimeter menunjukkan bacaan pada kedua-dua terminal pemanas dan bukan litar pintas barulah ganti' thermal fuse' sahaja.

Sekiranya terdapat litar pintas atau tiada bacaan pada kedua-dua terminal pemanas, anda dikehendaki menukar kedua-duanya iaitu 'thermal fuse' & pemanasnya.
Tested: OK (Keep warm)
Rekaan periuk nasi adalah hampir sama dan saya juga pernah membaiki periuk nasi berjenama PHILIPS sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini.
Tested: OK (Cooking)
Terima kasih kepada pemilik pemasak nasi ini kerana telah memberi kepercayaan dan peluang kepada saya untuk menunjukkan bakat walaupun tak seberapa...

Wednesday, 8 November 2017

Baiki alat pemain cakera padat CD/VCD/DVD/Blu ray

Dewasa ini boleh dikatakan setiap rumah memiliki alat pemain cakera padat. Namun jika alat pemain cakera padat anda gagal berfungsi, apa yang anda akan lakukan? Adakah anda akan buka dan cuba baiki? atau hantar ke kedai elektronik berdekatan untuk dibaiki? ataupun beli yang baru?

Jika anda ada pengetahuan dalam bidang elektronik, saya yakin anda akan cuba baiki sendiri tetapi tidak semua yang boleh melakukannya. Harus di ingat bahawa jika anda tidak ada pengetahuan tentang elektronik, jangan sekali-kali anda cuba baiki sendiri. Ini disebabkan elektrik amat merbahaya jika tidak dikendalikan dengan betul.

Hari ini saya kongsikan satu pengalaman membaiki alat pemain DVD yang asyik kata "NO-DISC" walaupun sebenarnya DVD telah berada di dalamnya.
Setelah dibuka penutup bahagian atas
Jika alat pemain DVD anda boleh dihidupkan tetapi tidak dapat membaca DVD tersebut, ini bermakna kerosakkannya ialah pada bahagian lensa DVD. Namun apa yang berlaku pada DVD ini ialah DVD gagal berputar setelah dimasukkan. Kenapa?
Motor/Dinamo yang rosak
Setelah diperiksa, ternyata salah satu motor/dinamo yang mengerakkan DVD tidak berfungsi.
Bahagian bawah dinamo/motor
Setelah dibuka dinamo/motor tersebut ternyata salah satu penyambung kepada dinamo tersebut telah haus dan putus mengakibatkan terputus bekalan elektrik untuk mengerakkan dinamo tersebut seperti pada gambar di bawah.
Penyambung bekalan eletrik bahagian atas telah haus & putus
Oleh kerana tidak ada alat ganti maka saya cuba baiki dinamo tersebut dengan menukar penyambung bekalan eletrik ke dinamo dengan wayar tembaga seperti pada gambar di bawah.
Penyambung bahagian kanan telah saya ganti dengan wayar tembaga
Setelah di pasang kembali dan dihidupkan ternyata DVD kini berputar dengan lajunya seperti pada gambar di bawah.
Eh... dah berpusing lah...

Masukkan CD/DVD

Eh.. kenapa berhenti?

Tekan 'play'

Yes! tested - OK
Selamat mencuba... Ingat kalau tak ada pengetahuan elektronik, jangan jadi tikus baiki labu...

Baiki Alat Kawalan Jauh (remote control repair)

Tahukah anda bahawa alat kawalan jauh merupakan satu-satunya peralatan eletronik yang tidak mudah rosak. Selama saya membaiki peralatan eletronik, saya dapati benda yang tak pernah rosak ialah alat kawalan jauh (remote control).

Namun saya sering dirujuk berkenaan alat kawalan jauh yang tidak berfungsi, kenapa? Gambar berikut merupakan salah satu alat kawalan jauh yang jarang digunakan tetapi tidak berfungsi ketika dirujuk kepada saya. Menurut pemilik, dia telah menggantikan bateri tahan lasak yang baru berjenama ENERGIZER.
Alat kawalan jauh MyppTV
Setelah dibuka dan diperiksa tiada satu pun komponen di dalam alat kawalan jauh ini yang rosak. Kenapa pula ianya tidak berfungsi walaupun telah diganti dengan bateri yang baru?
Bahagian hadapan papan litar
Masalahnya ialah seperti pada gambar di bawah iaitu bahagian yang disambung ke negative (-ve) bateri telah berkarat dan tidak mengalirkan bekalan eletrik untuk kegunaan alat kawalah jauh tersebut. Apa yang anda harus lakukan ialah bersihkan karat tersebut dengan kertas pasir.
Bahagian belakang papan litar
Setelah dibersihkan karat pada bahagian -ve bekalan bateri dan dipasang kembali ternyata alat kawalan tersebut kembali berfungsi seperti biasa.
Tested - ok

Tested - OK
Persoalan saya ialah kenapa bahagian penyambung -ve alat kawalan jauh tersebut berkarat? Jawapan nya ialah kerana bateri disimpan terlalu lama sehingga bateri mengeluarkan cecair dan mengakibatkan bahagaian tersebut berkarat.

Dengan yang demikian saya mencadangkan agar jangan menggunakan bateri yang berkualiti untuk alat kawalan jauh. Cukuplah dengan bateri buatan China yang mungkin hanya bertahan beberapa bulan sahaja dan anda akan kerap menukar bateri alat kawalan jauh anda. Dengan itu tiada peluang untuk bateri rosak sehingga mengeluarkan cecair yang mengakibatkan alat kawalan jauh anda tidak berfungsi.

Ingat, yang tahan lama tidak semestinya lebih baik. Fikir-fikirkan...

Sunday, 5 November 2017

5V AC/DC adapter repair

Hari ini saya kongsikan sesuatu yang paling mudah dibaiki iaitu adapter/transformer dengan voltan 5v. Menurut pembekal mereka tak jual adapter sahaja tetapi perlu membeli satu set iaitu adapter & receiver dengan harga kira-kira RM100. Kenapa perlu berbelanja lebih jika boleh dibaiki dengan harga yang jauh lebih murah?
Adapter/transformer 5V/1A
Masalah transformer/adapter ini ialah ketika di ukur dengan multimeter bacaan menunjukkan 5V tetapi bila di sambung kepada 'receiver' lampu indikator tidak menyala. Kenapa???
Bacaan menunjukkan 5V
Setelah dibuka dan diperiksa papan litar tersebut, kerosakkan hanya pada sebiji kapasitor 1000uF/10V.
Papan litar setelah dibuka

bacaan kapasitor 1000uf cuma 330uf sahaja

Kapasitor baru 1000uF/10V

Gantikan kapasitor tersebut...

Tested - OK
Selamat mencuba...