Friday 31 December 2021

Penamatan Rangkaian 3G - 31/12/2021

Rangkaian 3G di seluruh negara akan ditamatkan pada penghujung tahun ini atau lebih tepat lagi, hari ini merupakan hari terakhir liputan rangkaian 3G dan beralih sepenuhnya ke rangkaian 4G atau 5G atau mungkin 6G satu hari nanti.

Selama ini saya beranggapan bahawa saya telah menggunakan rangkaian 4G sebab telefon baru dibeli pada awal tahun ini.

Telefon 4G tidak bermaksud kita telah menggunakan rangkaian 4G sebab kad sim lama tidak menyokong rangkaian 4G.

H...

Sebelum ini telefon saya memaparkan huruf H seperti boleh dilihat pada gambar di atas namun semalam ianya telah bertukar dan memaparkan huruf E seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

E...

Masalah yang berlaku sejak semalam ialah kelajuan internet amat lembab dan setelah merujuk kepada kedai telefon pagi ini, rupa-rupanya saya masih lagi menggunakan rangkaian 3G yang bakal ditamatkan.

4G

Setelah menukarkan kad sim yang baharu dan dikenakan bayaran RM10, kini paparan telah bertukar ke 4G seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan masalah kelajuan internet lembab selesai.

Jadi, jika tiada paparan 4G pada telefon anda bermaksud anda masih lagi menggunakan rangkaian 3G. Segera ke kedai telefon berdekatan untuk menukarkan kad sim telefon anda, jika telefon bimbit anda tidak menyokong rangkaian 4G, anda juga perlu menukar telefon baharu yang boleh menyokong rangkaian 4G.

Thursday 30 December 2021

Replace running belt on Star Trac treadmill

Minggu ini saya dipanggil untuk menukarkan 'running belt' pada dua buah treadmill berjenama Star Trac seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Jenama: Star Trac

Kedua-duanya dengan masalah yang sama iaitu rosak/terkopak pada bahagian penyambung seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Running belt koyak...

Untuk pengetahuan semua, cara menukar 'running belt' hampir sama pada semua treadmill dan pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Buka roller hadapan dahulu...

Langkah-langkah membukanya ialah:-

  1. Buka kesemua penutup hadapan, tepi dan belakang
  2. Buka semua skru pada roller hadapan & belakang
  3. Keluarkan roller belakang dahulu, kemudian baru buka roller hadapan
  4. Buka papan (running deck) dan keluarkan bersama 'running belt'
Keluarkan papan & running belt sekali...

'Running belt' biasanya boleh didapat dengan mudah dari pihak pembekal/pengeluar dan kadang-kadang ada yang telah dihentikan pengeluarannya.

Running belt baru & lama...

Saya biasanya tidak membeli 'running belt' dari pembekal/pengeluar sebab harganya tersangat mahal. Saya beli secara atas talian (online) di sini.

Pasang running belit baharu...

Cara memasang kembali 'running belt' yang baharu ialah:-

  1. Masukkan 'running belt' kepada 'running deck' seperti boleh dilihat pada gambar di atas
  2. Susun elok 'running deck' pada kedudukan asalnya dan pastikan 'running belt' tidak terkepit pada mana-mana bahagian lain
  3. Pasang roller bahagian hadapan dahulu, kemudian pasang roller belakang
  4. Laras roller belakang sehingga 'running belt' selari dan tidak tergelincir ketika digunakan
Siap...

Peralatan yang diperlukan untuk menukar 'running belt' ini cuma 3 sahaja iaitu seperti boleh dilihat ada gambar di atas.

Selamat mencuba...

Wednesday 29 December 2021

Robot Coupe Blixer 3 D repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk beberapa kali mesin pengisar seperti ini dan anda boleh rujuk di sini, sini dan sini.

Robot Coupe Blixer 3 S

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi pengisar dengan masalah langsung tidak berfungsi setelah arus elektrik dibekalkan.

Setelah penutup bawah dibuka...

Pemeriksaan awal pada plug 3-pin serta kabel yang digunakan semuanya elok. Setelah dibuka dan pemeriksaan pada kapasitor serta relay di dalamnya juga masih elok.

Perintang 3.3kΩ putus...

Seterusnya saya periksa komponen pada papan litar dan menemui sebiji perintang yang dilabel 3K3 (3.3kΩ) putus dengan bacaan 'mega ohm' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Sepatutnya dapat bacaan 3.3kΩ

Saya juga menghadapi masalah bekalan perintang 3.3kΩ yang serupa dan telah digantikan dengan menggunakan perintang berwarna putih seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

3K3J/5W

Sebelum diuji, saya juga dapati kipasnya longgar seperti boleh ditonton pada klip video di bawah.

Apa yang saya buat supaya kipas tidak longgar ialah buka dan lumurkan gam epoxy, lepas itu pasang kembali dan dibiarkan semalaman supaya gam epoxy betul-betul kering.

Siap...

Pengisar ini telah berjaya diselamatkan dan kembali berkhidmat semula setelah kerosakkan yang ditemui di atas dibaiki/ganti.

 Selamat mencuba...

Tuesday 28 December 2021

SAFLOK model 4 (PART # 73832) repair

Semalam saya dirujuk sebuah mesin pengekod (encoder) kad untuk membuka pintu yang banyak digunakan di hotel seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Saflok encoder...

Menurut pemilik, masalahnya ialah mesin ini gagal menarik kad masuk untuk proses mengkod dan meminta supaya menukarkan tali sawat.

PART # 73832 (model 4)

Untuk pengetahuan semua, kerosakkan yang sering terjadi pada mesin ini ialah kerosakkan pada tali sawat dan pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Roller kotor...

Setelah dibuka dan diperiksa, tali sawat masih elok namun kelihatan sebiji 'roller' kotor seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Cara membersihkannya telah saya tunjukkan pada klip video di bawah.

Dari pengalaman lepas, punca yang boleh merosakkan tali sawat pada mesin ini ialah disebabkan 'roller' yang berputar bersentuh dengan papan litar dan juga pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Buka papan litar...

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan bahagian papan litar yang telah haus akibat bergesel dengan 'roller'.

haus bergesel dengan roller...

Saya tidak pasti kenapa kejadian sebegini berlaku dan jika tidak ditangani ianya akan semakin serius dan membataskan pergerakkan 'roller' sehingga merosakkan tali sawat.

haus bergesel dengan roller...

Cara untuk mengatasi masalah sedemikian ialah dengan menjauhkan papan litar supaya tidak bersentuh dengan 'roller'. Saya lapik keempat-empat bahagian papan litar yang dikunci dengan skru menggunakan sekeping plastik seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Lapik papan litar supaya tidak bersentuh dengan roller...

Mesin pengekod ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah membersihkan 'roller' yang kotor dan membuat sedikit pengubahsuaian seperti di atas.

Selamat mencuba...

Monday 27 December 2021

Xiaomi SOOCAS H5 negative ions hairdryer repair

Minggu lepas saya dirujuk sebuah alat pengering rambut berjenama xiaomi model SOOCAS H5 dengan masalah menghasilkan bau hangus apabila digunakan.

Xiaomi SOOCAS H5

Sebelum ini saya pernah kongsikan masalah alat pengering rambut yang serupa dan anda boleh rujuk di sini dan sini.

Enchancing with negative ions...

Masalah alat pengering rambut yang menghasilkan bau hangus disebabkan:-

  1. rambut pengguna melekat pada elemen pemanas
  2. motor kipas berpusing perlahan
Model: H5

Jadi, majoriti masalah alat pengering rambut adalah disebabkan rambut yang disedut masuk ketika digunakan.

Rambut...

Setelah penutup belakang dibuka dan diperiksa dengan mata kasar, jelas kelihatan segumpal rambut melekat pada kipas seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Keluarkan rambut...

Masalah bau hangus selesai setelah rambut yang terdapat di dalam alat pengering rambut ini telah dibuang serta dibersihkan.

Selamat mencuba...

Sunday 26 December 2021

MIUI 12.5.5.0 update (for POCO)

Pagi ini, sewaktu berjogging, saya ada menerima notifikasi memberitahu ada kemaskini (update) terbaharu untuk telefon bimbit xiaomi M3 saya seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Ketika baru dibeli, versi MIUI ialah V12.0.4 dan kali terakhir dikemaskini ialah pada 20/10/2021 dengan versi V12.0.11.0.

Nombor rujukan versi kali ini sedikit berbeza di mana nombor ke-2 yang biasanya 0 kini ialah 5 dan begitu juga pada nombor ke-3 yang juga 5 serta tidak mengikut urutan seperti sebelumnya.

Saiz fail kali ini ialah 2.6GB berbanding versi lepas yang cuma 2.4GB sahaja dan proses mengemaskini adalah sama seperti sebelumnya.

Sebelum dikemaskini...

Kemaskini kali menyaksikan versi android telah dinaik taraf dari android versi 10 ke android versi 11 seperti boleh dilihat pada gambar tangkap layar di bawah.

Selepas dikemaskini...

Selamat mengemaskini...

Saturday 25 December 2021

Ganti adapter untuk dekoder astro yang rosak

Semalam saya dirujuk sebuah dekoder astro bersama adapter untuk dibaiki. Adapter yang digunakan bukan adapter asal dan berjenama OMRON.

Adapter untuk dekoder astro...

Menurut pemilik, masalah dekodernya ialah gagal dihidupkan serta tidak berfungsi. Ketika saya mengujinya, ianya memang langsung tidak berfungsi.

12v, 2.5A (adapter astro)

Pemeriksaan pada output adapter menggunakan multimeter mempunyai bacaan output 12v namun kenapa gagal berfungsi?

DC male connector...

Apabila saya sambungkan dekoder kepada adapter asal astro yang saya ada, dekoder boleh dihidupkan serta berfungsi seperti biasa. Jadi, dekoder elok dan masalahnya ialah pada adapter.

12v, 2.5A

Pemeriksaan pada label adapter pemilik mendapati bahawa arus outputnya cuma 1000mA atau 1A sahaja seperti boleh dilihat pada gambar dibawah. Adapter ini tidak membekalkan arus elektrik yang mencukupi untuk kegunaan dekoder.

adapter OMRON - 1A sahaja...

Jika anda ada masalah adapter dan perlu menukarnya, perkara yang perlu diambil perhatian ketika membeli adapter yang baharu ialah:-

  1. Pastikan voltan outputnya 12v
  2. Pastikan arus outputnya mencukupi iaitu 2.5A
  3. Pastikan 'DC male connector' sama dengan adapter asal
Tested - ok

Adapter asal untuk dekoder astro yang rosak juga boleh dibaiki dan pernah saya kongsikan sebelum ini di sini.

Selamat berDIY...

Friday 24 December 2021

SHARP HT-SB115 sound bar home theatre system repair

Minggu lepas saya dirujuk sebuah 'sound bar' berjenama SHARP, model HT-SB115 dengan masalah gagal dihidupkan setelah dibekalkan arus elektrik.

SHARP HT-SB115

'Sound bar' ini dilengkapi dengan 2 keping papan litar sahaja iaitu:-

  1. PSU (Power supply unit)
  2. mainboard
Setelah PSU dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, papan litar PSU ada kesan terbakar seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Komponen rosak...

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan komponen yang didapati rosak dan masalah yang saya hadapi ialah tiada bekalan komponen yang dilabel 73k46.

Komponen rosak (bawah PCB)

Jadi, PSU ini gagal diselamatkan dan seterusnya saya uji mainboard dengan sambung sebuah adapter 12v, 2A dan ianya boleh berfungsi namun padam apabila suara dilaras maksima.

Mainboard...

Masalah gagal berfungsi setelah suara dilaras maksima ialah disebabkan bekalan dari adapter 12v, 2A tidak mencukupi untuk kegunaan 'sound bar' ini.

Pasang DC female connector...

Oleh kerana PSU asalnya menggunakan sebiji mosfet 4n65 (4A, 650v), saya uji semula dengan menggunakan adapter 4A dan tiada lagi masalah padam apabila suara dilaras maksima.

Sambung adapter 12v...

Seterusnya saya sambungkan sebiji 'DC female connector' kepada wayar mainboard dan dipasang pada penutup belakang seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Tested - ok

'Sound bar' ini berjaya diselamatkan dan berfungsi semula setelah PSU saya gantikan dengan sebiji adapater 12v, 4A.


 Selamat mencuba...

Thursday 23 December 2021

AVILL AV52504 ceiling fan repair

Bulan lepas saya dirujuk sebuah kipas siling berjenama AVILL, model AV52504 dengan masalah berpusing perlahan serta kadang-kadang gagal dihidupkan.

AVILL AV52504 ceiling fan

Masalah kipas boleh berpusing namun perlahan biasanya adalah disebabkan kerosakkan pada kapasitor dan jika terus digunakan akan berakhir dengan gagal dihidupkan.

Model: AV52504

Kipas manual (tanpa papan litar/alat kawalan jauh) hanya mempunyai sebiji kapasitor sahaja dan biasanya terletak pada bahagian atas motor seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

2.1uF, 450v capacitor (CBB61)

Pemeriksaan pada kapasitor tersebut menggunakan multimeter mendapati ianya masih elok. Nilai kapasitor yang digunakan pada kipas ini ialah 2.1uF, 450v.

Rintangan gegelung kipas - 361Ω

Cara untuk memastikan motor kipas ini elok atau tidak ialah buka papan litar seperti di bawah dan sambungkan terus bekalan elektrik ke wayar berwarna merah dan hitam pada kipas. Jika kipas boleh berpusing bermaksud motornya elok.

Papan litar (PCB)

Seterusnya saya buka papan litar yang digunakan dan pemeriksaan menyeluruh menemui dua biji kapasitor rosak dan perlu diganti seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Setelah penutup dibuka...

Kipas ini berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah kedua-dua kapasitor di atas telah saya gantikan.


Alat kawalan jauh ini menggunakan sebiji bateri 9v. Kipas ini mempunyai 4 kelajuan dan sesuatu yang menarik perhatian saya ialah kipas paling laju jika menggunakan nombor 1 dan paling perlahan jika menekan nombor 4.

Alat kawalan jauh...

Selamat mencuba...