Tuesday 30 November 2021

Brother FAX-2480 repair

Hari ini saya kongsikan pengalaman membaiki sebuah mesin fax berjenama Brothers, model: FAX-2480 dengan masalah langsung tidak berfungsi setelah dibekalkan arus elektrik.

Brother FAX-2480

Menurut pemilik, kali terakhir dihidupkan, skrin cuma menyala perkataan 'please wait' dan padam selepas itu.

Model: FAX-2480

Ketika saya mengujinya, ianya langsung tidak dapat dihidupkan dan pemeriksaan awal pada plug 3-pin serta kabel masih elok.

Buka penutup sebelah kanan...

Benda pertama yang saya periksa setelah dibuka ialah PSU (power supply unit) dan ianya terletak pada sebelah kanan mesin fax.

PSU - Power Supply Unit

Pemeriksaan dengan mata kasar tidak menemui sebarang komponen yang rosak namun ketika membuat pemeriksaan dengan menggunakan multimeter pada bahagian output, bacaan voltan yang saya dapat ialah 2.81v, 21.02v dan 6.99v.

Output - 3.3v, 24v & 8v

Bacaan yang dilabel pada papan litar ialah 3.316v, 24v & 8v seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Gantikan TL431AC

Pemeriksaan menyeluruh pada bahagian output akhirnya menemui sebiji komponen yang dilabel sebagai TL431A didapati rosak.

TL431AC

Setelah TL431A telah saya gantikan dengan yang baharu, bacaan output yang saya dapat ialah 3.399v, 25.08v & 12.10v. 

TL431A

Saya tidak pasti kenapa bacaan terakhir yang sepatutnya 8v seperti dilabel pada papan litar dapat bacaan 12v.

Testing - ok

Sehingga blog ini ditulis, mesin fax ini telah seminggu dikembalikan kepada pemilik dan ianya telah berjaya diselamatkan serta masih boleh digunakan.

Selamat mencuba...

Monday 29 November 2021

SIEMENS DM8 230R repair

Sebelum ini saya pernah baiki benda seperti ini dan anda boleh rujuk di sini, sini, sini dan sini.

Setelah dibuka...

Masalah ketika dirujuk kepada saya kali ini ialah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik dan lampu merah juga tidak menyala.

Litar pintas pada kapasitor 4.7uF, 400v

Dari pengalaman lepas, masalahnya ialah pada sebiji komponen 'wear & tear' iaitu kapasitor utama dengan nilai 4.7uF, 400v. Walaupun kapasitor tersebut kelihatan elok dan tidak kembung namun apabila dikeluarkan dari papan litar dan diperiksa, ianya mengalami litar pintas seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

3 biji perintang berlabel 821 (820Ω) putus...

Dari pengalaman lepas juga, jika kapasitor mengalami litar pintas ada lagi komponen lain turut rosak akibat litar pintas dan biasanya fius keselamatan akan putus.

Gantikan perintang yang putus...

Alat ini tidak dilengkapi dengan fius dan pemeriksaan menyeluruh pada papan litar menemui tiga biji perintang yang dilabel 821 atau 820Ω putus.

Guna perintang 1kΩ ganti perintang 820Ω...

Ketiga-tiga perintang yang digunakan adalah jenis SMD disambung selari dan saya gantikan dengan perintang 1kΩ, 1/8w menggunakan perintang biasa seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

328Ω

Gambar di atas menunjukkan bacaan rintangan yang saya dapat pada ketiga-tiga perintang dan ianya sah disambung selari.

Kira-kiranya adalah seperti berikut:-

1/1000 + 1/1000 + 1/1000 = 1/R

R = 1000/3 = 333Ω

Jika menggunakan perintang asal 820Ω, bacaannya pula ialah 273Ω:-

1/820 + 1/820 + 1/820 = 1/R

R = 820/3 = 273Ω

Tested - ok

Alat ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula setelah sebiji kapasitor serta tiga biji perintang telah saya gantikan serta diuji. 

Perbezaan 60Ω dengan menggunakan perintang 1kΩ menggantikan 820Ω tidak memberi sebarang kesan dan ianya telah sebulan digunakan tanpa masalah.

Selamat mencuba...

Sunday 28 November 2021

5W LED power supply

Baru-baru ini saya buka sebiji mentol lampu LED 5W seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Lampu LED 5W

Mentol ini digunakan pada lampu meja dan disambung terus kepada bekalan arus elektrik di rumah iaitu 220vac.

Setelah dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, saya dapati 25 biji lampu LED yang digunakan disambung bersiri bersama satu papan litar seperti 'LED driver'.

5W LED

Gambar di bawah merupakan 'LED driver' yang saya maksudkan dan dilengkapi dengan beberapa biji komponen sahaja.

PSU (AC ke DC)

Gambar skematik di bawah saya lakar berdasarkan kepada komponen yang ada papan litarnya

Skematik

Untuk pengetahuan semua, lampu LED telah rosak dan apabila saya sambungkan kepada bekalan elektrik, bacaan voltan output ialah 339.6vdc tanpa bebanan (load).

339.6vdc - tanpa bebanan (load)

Selamat berDIY...

Saturday 27 November 2021

VORTICE ECODRY IPX4 automatic hand dryer repair

Sebelum ini saya pernah dirujuk sebuah alat pengering tangan dengan masalah sensor tidak sensitif serta gagal berfungsi dan anda boleh rujuk di sini.

Setelah penutup dibuka...

Hari ini sebaliknya pula berlaku di mana alat pengering tangan yang dirujuk kepada saya hidup tanpa henti-henti walaupun tiada objek lagi untuk dikeringkan.

Sensor...

Pemeriksaan awal pada papan litar tidak menemui sebarang komponen yang rosak dan setelah diuji beberapa kali, saya dapati ianya hanya tidak berhenti setelah penutupnya saya pasang kembali.

Tolak sensor sedikit ke belakang...

Jadi, saya berpendapat masalahnya ialah pada sensor yang terlalu sensitif dan sebagai percubaan, saya tolakkan sensor sedikit ke belakang seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Satu penutup sensor hilang...

Selain daripada itu, salah satu penutup sensor juga hilang seperti telah saya tandakan pada gambar di atas.

Potong bekas plastik buat penutup sensor...

Saya potong bekas penyimpan makanan sebagai pengganti penutup sensor yang telah hilang seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Siap...

Alat pengering tangan ini telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula tanpa masalah setelah hanya dengan melaras sedikit ke belakang kedudukan sensornya sahaja.

Selamat mencuba...

Friday 26 November 2021

LG WF-F63PC washing machine PCB

Sebelum ini saya pernah membaiki mesin basuh seperti ini dan anda boleh rujuk di sini.

Jenama: LG

Hari ini saya dirujuk sebuah lagi mesin basuh serupa dengan masalah langsung tidak berfungsi apabila dibekalkan arus elektrik.

Model: EF-F63PC

Masalah sedemikian biasanya adalah disebabkan kerosakkan pada papan litar dan biasanya saya tidak baiki dan gantikan dengan papan litar yang baharu. Papan litar mesin basuh sukar dibaiki berikutan diselaputi dengan lapisan gam/epoxy yang sangat leceh untuk dibuang sebelum pemeriksaan boleh dibuat.

PCB OEM...

Ada beberapa pilihan ketika mencari papan litar yang baharu dan harganya juga berbaza-beza iaitu:-

  1. Papan litar tulen
  2. Papan litar OEM
  3. Papan litar universal
Rintangan pada inlet valve - 4.6kΩ

Saya biasanya akan membeli papan litar OEM dan harganya di bawah seratus ringgit sahaja di laman atas talian Lazada, Shopee, Aliexpress serta Taobao.

PCB OEM tiada fuse

Ianya boleh digunakan serta telah banyak saya gantikan tanpa masalah dan untuk pengetahun semua, harga papan litar OEM lebih murah sebab tidak dilengkapi dengan fius serta suis pintu seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

PCB OEM tiada suis pintu

Saya tidak pernah menggunakan papan litar universal sebab perlu memotong serta membuat pendawaian semula dan ianya kurang selamat pada pandangan saya.

Output transformer - 10v, 250mA


Kadang-kadang mesin basuh yang dirujuk kepada saya, gam/epoxy pada papan litar telah cair serta meleleh. Ini berlaku sebab biasanya pengguna tidak pernah memadamkan suis utama pada soket ketika tidak digunakan. Haba yang terhasil pada transformer adalah punca gam/epoxy cair.

Untuk mengelak gam/epoxy cair berlaku, putuskan bekalan elektrik dengan memadamkan suis pada soket bila mesin basuh tidak digunakan.

Selamat berDIY...

Thursday 25 November 2021

ELBA ECO-906 convection oven repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah 'air fryer' atau oven berjenama ELBA, model: ECO-906 dan pemilik memberitahu saya ianya telah lama rosak serta tidak ingat lagi apa kerosakkannya.

Jenama: ELBA

Sebelum ini saya pernah kongsikan beberapa buah 'air fryer' yang pernah dibaiki dan anda boleh rujuk di sini, sini, sini, sini dan sini.

Model: ECO-906

Pemeriksaan awal pada fius di plug 3-pin masih elok. Seterusnya saya buka penutup elemen pemanas dan mendapati tiub halogen telah terbakar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup dibuka...

Diameter tiub halogen yang digunakan ialah 15cm. 'Air fryer' ini perlu dileraikan sehingga bahagian pendawaiaan kelihatan untuk mengeluarkan tiub halogen.

Buka mana yang patut...

"Air fryer' ini berjaya diselamatkan dan kembali berfungsi semula setelah tiub halogen telah siap saya gantikan serta diuji.

Halogen tube siap ditukar...

Untuk pengetahuan semua, tiub halogen merupakan komponen 'wear & tear' dan akan rosak bila tiba waktunya selain masalah 'manufacturing defects'. 

Diameter tiub halogen 15cm (5.6Ω)

Ianya seperti mentol lampu kereta atau lampu di rumah/pejabat yang akan hangus dan harus diganti.

Selamat mencuba...

Wednesday 24 November 2021

Cara memeriksa sensor haba (NTC thermistor)

Sebelum ini saya pernah kongsikan maklumat berkaitan dengan thermistor dan anda boleh rujuk di sini.

temperature sensor - induction cooker

Hari ini saya kongsikan sebiji komponen yang kelihatan seperti diod namun ianya bukan diod ataupun zener diod seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Komponen ini digunakan sebagai sensor suhu pada 'induction cooker' dan ianya dikenali sebagai NTC thermistor. Ianya juga ada digunakan pada thermometer elektronik dan periuk nasi.

Perbezaan fizikal ketara di antara NTC thermistor dan diod boleh dilihat dengan jelas pada gambar di bawah.

thermistor vs diode

Cara memeriksa NTC thermistor ini ialah dengan mengukur rintangannya dan bacaan rintangan akan berubah mengikut suhu seperti telah saya terangkan dalam klip video pada penghujung artikel ini.

Anda boleh panaskannya dengan memegang menggunakan jari dan bacaan rintangan akan berubah.

NTC thermistor - 100kΩ

Nilai NTC thermistor ini ialah 100kΩ pada suhu 25°c. Kita tidak akan mendapat bacaan tepat 100kΩ sebab suhu bilik bukan tepat pada 25°c.

Penghawa dingin di pejabat saya dilaras pada suhu 24°c dan bacaannya menghampiri 100kΩ. Jika diukur pada suhu bilik tanpa penghawa dingin bacaannya kira-kira 70kΩ hingga 80kΩ sebab suhunya lebih tinggi dari 25°c.

NTC thermistor yang rosak tidak mempunyai bacaan rintangan atau nilai rintangan tidak berubah mengikut suhu.

Tiada bacaan periksa guna fungsi periksa diod...

NTC thermistor yang elok tidak mempunyai sebarang bacaan jika diukur dengan menggunakan fungsi diod pada multimeter seperti boleh dilihat pada gambar di atas.


 Selamat mencuba...

Tuesday 23 November 2021

Ukur kapasitor menggunakan multimeter analog

Hari ini saya kongsikan cara memeriksa serta mengukur kapasitor dengan menggunakan multimeter analog lama berjenama Sanwa, model CX-506.

Sanwa CX-506

Tidak semua multimeter analog dilengkapi dengan fungsi untuk mengukur kapasitan pada kapasitor.

C1 & C2 untuk mengukur kapasitor

Sebelum mengukur nilai kapasitor, proses menentukur (calibrate) multimeter harus dilakukan dan cara-caranya boleh ditonton pada klip video di penghujung artikel ini.

1.88uF

Multimeter ini mempunyai dua pilihan untuk mengukur kapasitor dan skalanya telah saya tandakan pada gambar di bawah iaitu:-

C1 = 50pF - 0.1uF/100nF

C2 = 0.01uF/10nF - 100uF

Rujuk pada skala C1 & C2

Kapasitor yang saya gunakan untuk diuji telah diukur dengan menggunakan multimeter digital dan bacaannya ialah 1.88uF.

1.8uF

Gambar di atas adalah bacaan ketika saya ukur dengan menggunakan multimeter analog dan bacaannya ialah 1.8uF.

Selamat mencuba...