Monday 31 May 2021

pivot RAIZIN volt stabilizer

Benda ini saya beli dan pernah digunakan untuk satu jangkamasa sahaja kira-kira lebih 10 tahun yang lalu serta masih disimpan sehingga kini.

RAIZIN volt stabilizer

Ketika itu saya belum berjinak-jinak lagi dengan elektronik namun telah mempunyai asas elektronik tetapi tidak mempunyai multimeter untuk membuat pemeriksaan.

pivot

Baru-baru ini saya telah membuka dan memeriksa benda ini untuk mengetahui bagaimana ianya berfungsi sebagai 'volt stabilizer' seperti terpampang pada labelnya.

Tulen vs Tiruan...

Umum makluman semua, benda ini banyak produk tiruan dan gambar di atas saya ambil dari laman web pivot yang memberitahu pengguna agar berhati-hati dengan produk tiruan mereka di pasaran.

Tulen...

Gambar di atas ialah 'volt stabilizer' saya dan telah disahkan asli menurut info dari laman web mereka.

9,250uF

Setelah dibuka dan diperiksa, skematik benda ini sangat mudah iaitu dilengkapi dengan 4 biji super kapasitor disambung selari berserta indikator memberitahu kita voltan bateri sahaja.

2,387uF sebiji...

Dari pemeriksaan di atas, benda ini masih elok iaitu nilai sebiji super kapasitornya kira-kira 2,300uF dan jumlah keempat-empatnya kira-kira 9,200uF.

MegaRAIZIN battery performance monitor...

Saya juga mempunyai sebiji lagi dengan label 'MegaRAIZIN' seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah. Perbezaannya dengan yang berwarna biru di atas ialah kemampuan kapasitornya yang jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 17,600uF atau mungkin 20,000uF sebab salah sebiji kapasitor mempunyai bacaan yang meragukan.

17,660uF

Kesimpulan dari pemeriksaan mudah ke atas kedua-dua 'volt stabilizer' di atas ialah:-

  1. Kedua-duanya masih elok
  2. Kedua-duanya dilengkapi dengan super kapasitor dan indikator sahaja
  3. Perbezaannya ialah keupayaan menyimpan cas 
  4. Fungsinya sama iaitu sebagai 'volt stabilizer' sahaja.
2,440uF (kapasitor kecil)

Seingat saya, ianya hanya digunakan beberapa bulan sahaja dan disimpan sehingga kini sebab benda ini telah menyebabkan bateri kereta saya selalu lemah hanya ditinggalkan semalaman dan cepat rosak.

5,202uF (kapasitor besar)

Untuk makluman semua, fungsi kapasitor ialah:-

  1. Menyimpan cas dan mengeluarkan cas ketika diperlukan dengan cepat
  2. Mampu menapis bunyi seperti "BUZZ, WHINE, HISS" dan sebagainya pada 'sound system'

Cara benda ini berfungsi sebagai 'volt stabilizer' ialah ketika bebanan tinggi seperti sewaktu baru menghidupkan lampu kereta atau menghidupkan penghawa dingin. Ketika inilah cas dari kapasitor akan dikeluarkan untuk membantu bateri serta alternator supaya voltannya tidak berubah jauh.

Sebagai contoh, anda perasan tak lampu kereta akan malap seketika sewaktu penghawa dingin baru dihidupkan atau ketika kompressor penghawa dingin dihidupkan? Ketika lampu malap sedikit itulah bebanan yang saya maksudkan di atas.

Jika diukur menggunakan multimeter ketika lampu kereta malap sekejap, kita akan dapati voltan bateri akan menurun dan sekiranya anda menyambungkan 'volt stabilizer' ini, ianya boleh mengurangkan penurunan voltan dengan mengeluarkan casnya dari kapasitor.

Jadi, 'volt stabilizer' ini boleh mengurangkan kejadian lampu malap sekejap pada kereta anda dan seterusnya menstabilkan arus elektrik supaya peralatan yang menggunakan elektrik boleh berfungsi di tahap optimum.

Ada rintangan pada setiap kapasitor...

Satu lagi soalan yang belum terjawab iaitu 'kenapa ianya boleh menyebabkan bateri lemah dan cepat rosak'? Jawapannya ialah walaupun fungsi kapasitor ialah menyimpan cas, casnya juga akan hilang secara perlahan-lahan sebab setiap kapasitor mempunyai rintangannya sendiri. kapasitor yang lama akan mempunyai rintangan yang lebih tinggi dan kadang-kadang mengalami litar pintas.

Selain kehilangan cas melalui rintangan pada kapasitor, kehilangan cas juga berlaku pada indikatornya yang juga menggunakan tenaga elektrik.

Litar pintas pada kapasitor...

Cara untuk mengelakkan cas bateri hilang melalui 'volt stabilizer' ini ialah dengan memutuskan bekalan elektrik kepadanya ketika kereta tidak digunakan dengan menyambungkan sebiji geganti (relay) dan dikawal melalui kunci kereta.

Multimeter untuk mengukur rintangan kapasitor...


Ada yang memberitahu saya, mereka telah menggunakan 'volt stabilizer' mencecah belasan tahun tanpa masalah. Setahu saya setiap kapasitor mempunyai jangka hayat tertentu dan akan rosak bila tiba masanya. Tidak semua kapasitor akan berakhir dengan litar pintas namun majoriti disebabkan 'dry capacitor' iaitu di mana cecair di dalamnya telah kering dan tidak mampu menyimpan cas lagi.

Jika kejadian 'dry capacitor' berlaku, benda ini tidak lagi berfungsi sebagai 'volt stabilizer' lagi namun hanya sebagai indikator yang memberitahu pemilik voltan sahaja.

Klip video di atas menunjukkan betapa cepatnya cas pada super kapasitor yang ada pada 'volt stabilizer' ini akan habis digunakan oleh indikatornya sahaja.

Fikir-fikirkan...

Sunday 30 May 2021

Luxman L-55A DUO-BETA intererated amplifier repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah amplifier berjenama Luxman, model L-55A buatan Jepun dengan masalah boleh dihidupkan namun tidak mengeluarkan suara langsung setelah dibekalkan arus elektrik.

Luxman L-55A

Spesifikasi amplifier ini ialah:-

Power output: 80 watts per channel into 8Ω (stereo)

Frequency response: 10Hz to 100kHz

Total harmonic distortion: 0.02%

Input sensitivity: 0.15mV (MC), 1.5mV (MM), 220mV (line)

Signal to noise ratio: 80dB (MC), 80dB (MM), 100dB (line)

Output: 220mV (line)

Dimensions: 466 x 378 x 181mm

Weight: 14.3kg

Model:L-55A

Amplifier lama ini sedikit susah dibuka sebab penutup luarannya diperbuat daripada papan lapis. Cara membukanya ialah dengan membuka kesemua skru pada bahagian bawahnya dan tarik keluar melalui bahagian hadapannya.

Setelah dikeluarkan dari penutup...

Setelah amplifier tersebut saya keluarkan dari kotaknya, pemeriksaan dengan mata kasar mendapati keempat-empat fius 3.15A putus seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

4 biji fius 3.15A putus...

Fius tersebut disambung kepada keempat-empat transistor masing-masing berlabel A1106 dan C2581 yang bertindak untuk keselamatan.

A1106

Jika fius putus bermaksud ada litar pintas dan pemeriksaan pada papan litar bahagian amplifier mendapati terdapat litar pintas pada channel sebelah kanan sahaja. 

C2581

Komponen pada channel sebelah kanan yang mengalami litar pintas ialah:-

  1. sebiji transistor A1106
  2. sebiji transistor C2581
  3. sebiji transistor A1006
  4. sebiji transistor D2336
A1006

Tiada sebarang kerosakkan ditemui pada channel sebelah kiri dan apa yang saya lakukan ialah gantikan fius 3.15A pada sebelah kiri sahaja untuk diuji.

D2336

Klip video di bawah menunjukkan amplifier tersebut boleh berfungsi tanpa masalah hanya dengan channel sebelah kiri sahaja.


Sehingga blog ini ditulis, saya masih lagi menunggu alat ganti transistor yang rosak di atas dan dibeli secara atas talian.

Selamat mencuba...

Saturday 29 May 2021

PKP di seluruh Sarawak (29/05/2021 - 11/06/2021)

Dua hari yang lepas pada 27/05/2021, kerajaan Sarawak telah mengumumkan perlaksanaan PKP semula bermula hari ini 29/05/2021 selama 2 minggu sehingga 11/06/2021 berikutan peningkatan kes positif CoVid-19 yang membimbangkan kebelakangan ini.

Berikutan pengumuman tersebut, orang ramai ternanti-nanti garis panduan panduan (SOP) terbaru dan gambar-gambar berikut adalah ringkasannya yang dikeluarkan semalam.

1/3

Walaupun program vaksinasi telah bermula bulan febuari awal tahun ini, sehingga kini hanya kira-kira 7% sahaja rakyat negara kita Malaysia telah divaksin selama 3 bulan yang lalu.

2/3

Jumlah rakyat negara kita ialah kira-kira 33 juta orang dan sekiranya proses vaksinasi tidak dipercepatkan, maka kita memerlukan kira-kira 4 tahun untuk memvaksin seluruh rakyat kita dengan kadar sekarang.

3/3

Proses pemvaksinan yang tersangat perlahan di negara kita ketika ini mungkin disebabkan bekalan vaksin tidak mencukupi atau pusat memvaksin yang terhad. Saya juga dapati ramai yang tidak hadir temujanji untuk mendapatkan vaksin dilaporkan dan ini juga pasti adalah penyumbang kepada kelancaran program pemvaksinasi negara.

Bantuan BKSS

Gambar tangkap layar di atas saya ambil dari kenyataan media oleh kerajaan Sarawak semalam ketika mengumumkan bantuan BKSS. PKP hari ini, bantuan hanya mulai diagihkan pada bulan julai. Apa kata anda?

1/2

Dalam masa yang sama, kira-kira pukul 7:00 petang, PMO (Pejabat perdana menteri) pula telah mengeluarkan kenyataan bahawa 'totol lockdown' akan dilaksanakan mulai 01/06/2021 sehingga 14/06/2021 seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

2/2

Sehingga blog ini ditulis, saya tidak pasti PKP versi mana satu yang harus rakyat Sarawak ikut.

Gambar milik www.zunar.my

SOP - Semua Orang Pening...

Friday 28 May 2021

Panasonic KX-T2371MLW repair

Telefon seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini, sini dan sini.

Panasonic KX-T2371MLW

Hari ini saya dirujuk sebuah telefon serupa namun masalahnya ialah soket penyambung kabel gangang telefon telah pecah seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

soket gangang telefon pecah...

Sebelum ini saya juga pernah dirujuk masalah sedemikian dan apa yang saya lakukan ialah gantikan soket yang baru. Kabel gangang telefon tersebut akan tanggal dengan sendiri ketika gangang telefon diangkat sebab penyangkutnya telah pecah.

Lilit dawai pada canguk cable gangang...

Masalah yang saya hadapi kali ini ialah tiada alat ganti dan terpaksa melakukan sedikit ubahsuai tanpa perlu menukarkan soket yang pecah.

Masukkan dawai ke soket gangang telefon...

Saya hanya menggunakan sehelai dawai halus dengan melilitnya pada bahagian cangkuk kabel dan masukkan dawai ke dalam soket gangang telefon seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Ikat dawai pada bahagian dalam soket...

Seterusnya saya ikat dawai tersebut pada bahagian dalam soket seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah supaya kelihatan kemas.

Siap...

Setelah siap diikat dan diuji, masalah di atas telah selesai dan cuma kabel gangang tersebut tidak dapat dibuka lagi selepas ini.

Selamat mencuba...

Thursday 27 May 2021

Super Flower Blood Moon - 26/05/2021

Semalam saya berkesempatan menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh dengan mata sendiri dan cuaca cerah sepanjang proses gerhana. Fenomena sama yang terakhir berlaku ialah pada tahun 2018.

Menurut agensi angkasa Malaysia (MYSA), fenomena gerhana penuh bermula jam 16:47 dan berakhir pada jam 21:50 waktu Malaysia.


Fenomena ini berlaku apabila kedudukan matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada kemerahan dan kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.

Fenomena ini mengingatkan saya kembali ke zaman kanak-kanak dan pernah mendengar cerita dongeng mengatakan bahawa bulan ditelan anjing/serigala dan apa yang perlu dilakukan ialah memukul tin dan sebagainya sehingga anjing/serigala memuntahkan semula bulan yang telah ditelan.


Kepercayaan sebegini mungkin disebabkan ketika gerhana berlaku ada kedengaran anjing/serigala melolong seperti boleh ditonton dalam cerita seram.



Wednesday 26 May 2021

Baiki alat kawalan jauh kereta Perodua

Pagi ini saya dirujuk sebiji alat kawalan jauh kereta Perodua dengan masalah butang hijau selalu tidak berfungsi bila ditekan.

Alat kawalan jauh kereta Perodua...

Jika butang tidak berfungsi, masalahnya sudah tentu pada 'tact switch' di dalamnya rosak dan harus diganti.

Setelah penutup dibuka...

Apa yang anda harus lakukan ialah, buka alat kawalan jauh anda dan cari alat ganti 'tact switch' yang baru.

Keluarkan butang yang rosak...

Pastikan 'tact switch' yang dibeli adalah sama saiz dan rekabentuknya supaya tidak perlu membuat sebarang pengubahsuaian ketika menukarnya.

Kiri - baru, Kanan - rosak

Jika anda mempunyai alat kawalan jauh yang mulai bermasalah sedemikian, pastikan ianya dibaiki dengan kadar segera.

Siap...

Saya pernah dirujuk alat kawalan jauh dengan masalah serupa namun tidak mampu dibaiki sebab IC (integrated circiut) telah rosak akibat dari kerosakkan yang bermula dari butang suis sahaja.

Alat kawalan jauh di atas berjaya diselamatkan dengan hanya menukar 'tact switch' sahaja.

Selamat mencuba...

Tuesday 25 May 2021

12V, 2A SMPS adapter repair

Hari ini saya kongsikan satu pengalaman baru dirujuk dekoder astro njoi dengan masalah 'reboot' sendiri seperti boleh dilihat pada klip video di bawah.

Pemeriksaan pada dekoder astro tidak menemui sebarang kerosakkan dan saya dapati bahawa voltan dari adapter ke dekoder cuma kira-kira 6v sahaja pada papan litar.

12vdc adapter...

Adapter yang digunakan bukan adapter asal untuk dekoder astro dan apabila saya cabut penyambungnya dari dekoder serta ukur voltannya, saya dapat bacaan normal 12.3v.

Setelah penutup dibuka...

Masalah sedemikian sering terjadi pada adapter jenis SMPS dan pemeriksaan menyeluruh pada adapter hanya menemui sebiji kapasitor yang berfungsi sebagai 'feedback capacitor' didapati rosak seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Kapasitor 100uF, 16v rosak...

Kapasitor tersebut dilabel 100uF, 16v namun bila diperiksa dengan menggunakan multimeter, bacaannya cuma 36uF sahaja.

36uF sahaja...

Masalah dekoder 'reboot' sendiri di atas telah berjaya diselamatkan dengan membaiki adapternya sahaja. Sebelum ini saya juga pernah dirujuk masalah dekoder serupa yang melibatkan kerosakkan adapter asal untuk dekoder astro dan anda boleh rujuk di sini.

Tested - ok

Selamat mencuba...