Friday 30 April 2021

Cara menentukan terminal positif dan negatif pada kapasitor dc

Secara amnya, terminal kapasitor yang lebih panjang adalah positif (+ve) dan terminal yang lebih pendek adalah negatif (-ve) selain dengan merujuk kepada labelnya.

47uF, 35v

Hari ini saya terjumpa sebiji kapasitor yang terminal lebih panjang dilabel sebagai -ve seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Selama ini saya memang was-was ketika menukar kapasitor dc sebab jika tersalah pasang ianya akan berasap atau meletup serta boleh menyebabkan papan litar rosak teruk dan tidak boleh dibaiki lagi.

Ini adalah kapasitor pertama saya temui sejak sekian lama berkecimpung dengan kerja baiki membaiki barangan elektrik serta elektronik.

Soalan saya sekarang ialah, ada tak cara lain untuk memastikan mana satu terminal +ve/-ve pada kapasitor tanpa merujuk kepada label?

Jawapannya ialah ada. Caranya ialah dengan mengecas kapasitor tersebut dan ukur voltannya. Jika kapasitor dicas secara terbalik, bacaan voltannya sedikit sahaja. Anda boleh rujuk kepada klip video saya di bawah untuk keterangan lanjut.

Ujikaji di atas telah mengesahkan bahawa kapasitor yang wujud satu dalam sejuta pada gambar di atas telah tersalah label.

Bayangkan apa yang akan berlaku jika saya tidak membuat pengesahan dan terus memasang kapasitor tersebut pada papan litar untuk digunakan. Buat pengesahan seperti di atas jika ada kapasitor yang meragukan anda.

Selamat mencuba...

Thursday 29 April 2021

1220 SMPS 12V adapter repair

Banyak adapter kini adalah buatan China dan direka berbeza-beza dengan nombor rujukan yang juga berbeza-beza. Adapter yang hampir serupa seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh rujuk di sini.

Model: 1220

Adapter tidak berjenama, model: 1220 buatan China ini dirujuk kepada saya dengan masalah tiada voltan output apabila dibekalkan arus elektrik.

Setelah penutup dibuka...

Setelah dibuka dan diperiksa, hanya sebiji schottky diod berlabel SR5100 didapati litar pintas dan telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Litar pintas pada diod SR5100...

Rating diod tersebut ialah 5A, 100V dan anda boleh rujuk datasheet untuk schottky diod tersebut di sini.

Gantikan diod yang baru...

Adapter ini telah berjaya diselamatkan dengan hanya menukarkan schottky diod sahaja dan masih boleh digunakan semula.

Tested - ok
Selamat mencuba...

Wednesday 28 April 2021

SONY STR-K760P amplifier repair

Baru-baru ini saya  dirujuk sebuah amplifier 5.1 channel berjenama SONY, model STR-K760P dengan masalah boleh dihidupkan tetapi suara keluar dari speaker terlalu lemah.

SONY STR-K760P

Sebelum dibuka, saya uji amplifier tersebut dan kenyaringan suara yang keluar dari speaker hampir sama dengan kenyaringan telefon bimbit sahaja walaupun telah dilaras maxima.

Model: STR-K760P

Gambar di bawah menunjukkan keadaan di dalam amplifier tersebut setelah penutupnya dibuka dan ianya dipenuhi dengan habuk serta debu.

Setelah penutup atas dibuka, berhabuk...

Setelah dibersihkan, saya periksa satu per satu komponen yang ada dari bahagian atas papan litar dan tidak menemui sebarang komponen yang rosak.

Dah bersih, tiada debu lagi...

Seterusnya saya buka papan litar dan periksa melalui bahagian bawah papan litar seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Bahagian bawah papan litar...

Untuk makluman semua, saya juga tidak menemui sebarang komponen yang rosak dengan menggunakan multimeter.

banyak 'cold solder joint'...

Jika tiada komponen yang rosak, kenapa output ke speaker lemah? Setelah diperhati dengan teliti saya dapati banyak pateri pada bahagian bawah papan litar mengalami 'cold solder joint' seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Siap...

Setelah kesemua 'cold solder joint' pada bahagian bawah papan litar saya pateri semula dan diuji, masalah output yang lemah selesai dan amplifier ini telah berjaya diselamatkan serta boleh digunakan semula.

Sedikit info kepada pemilik amplifier berjenama SONY, klip video di atas saya rakam untuk menunjukkan cara melakukan 'factory reset':-

  1. Pastikan amplifier dalam keadaan 'Off'
  2. Tekan butang 'power' tanpa dilepaskan kira-kira lima saat sehingga perkataan 'push enter' menjelma
  3. Lepaskan butang 'power' dan tekan butang 'enter'
  4. Proses reset selesai setelah perkataan 'clearing' dan 'cleared' berakhir/padam

Selamat mencuba...

Tuesday 27 April 2021

ACER V196HQL 18.5" LED monitor repair

Beberapa minggu yang lepas saya dirujuk sebuah monitor jenis LED berjenama ACER, Model: V19HQL dengan masalah kadang-kadang tidak dapat dihidupkan.

ACER V19HQL monitor

Sebelum dibuka untuk pemeriksaan, saya sempat mengujinya dan ianya boleh dihidupkan namun pemilik memberitahu saya kebelakangan ini ianya semakin kerap tidak dapat dihidupkan.

Model: V196HQL

Masalah sedemikina biasanya adalah disebabkan komponen terutamanya kapasitor yang perlu diganti sebab nilainya telah berkurangan dan tidak membekalkan arus elektrik yang mencukupi untuk kegunaan peralatan elektrik.

Setelah penutup belakang dibuka...

Gambar di bawah menunjukkan papan litar yang ada pada monitor tersebut setelah dibuka dan papan litar sebelah kanan ialah PSU (power supply unit).

Buka PSU...

Pemeriksaan pada papan litar PSU dengan mata kasar tidak menemui sebarang kerosakkan namun setelah diperiksa menggunakan multimeter, komponen yang perlu ditukar telah saya tandakan pada gambar di bawah.

PSU...
Komponen yang diganti ialah:-
  1. sebiji 47uF, 25v
  2. sebiji 47uF, 50v
  3. sebiji kapasitor 1500uF, 10v
Komponen yang rosak...

Sesuatu yang jarang ditemui namun kadang-kadang terjadi ialah nilai kapasitor 1500uF ketika saya ukur menggunakan multimeter ialah 2258uF seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

1500uF tapi bacaan 2258uF...

Biasanya nilai kapasitor akan berkurangan setelah sekian lama digunakan namun jika ada yang nilainya terlebih tinggi dari sepatutunya, ianya juga harus diganti. Majoriti papan litar kini menggunakan 'PWM controller IC' pada PSU dan sangat sensitif sehingga boleh menyebabkan PSU gagal berfungsi.

Tested - ok

Sehingga blog ini ditulis, monitor ini telah dikembalikan kepada pemilik dan setakat hari ini tiada masalah gagal dihidupkan dilaporkan.

Selamat mencuba...

Monday 26 April 2021

GB15143-94 GB/T15144-94 ballast repair

Sebelum ini saya pernah membaiki ballast elektronik dan anda boleh rujuk di sini.

GB15143-94 GB/T15144-94

Hari ini saya dirujuk sebuah lampu dinding yang menggunakan lampu fluorescent jenis T5 dengan masalah tidak menyala apabila dibekalkan arus elektrik.


Pemeriksaan awal mendapati tiub fluorescent rosak dan setelah ditukar, ianya boleh menyala namun berkelip-kelip seperti boleh ditoton pada klip video di atas.

Seterusnya saya buka ballast dan pemeriksaan dengan mata kasar mendapati sebiji kapasitor utama dengan nilai 3.3uF, 250v kembung serta harus diganti seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Pemeriksaan menyeluruh dengan multimeter mendapati kedua-dua kapasitor utama rosak dan telah saya gantikan seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Lampu dinding tersebut telah berjaya diselamatkan dan komponen yang ditukar ialah:-

  1. tiub fluorescent T5
  2. dua biji kapasitor 3.3uF, 250v

Selamat mencuba...

Sunday 25 April 2021

Clash Of Clan TH14

Pada 12.4.2021 lepas, pihak Clash Of Clan (COC) telah memperkenalkan 'town hall' (TH) baharu iaitu level 14.

TH14 - 12/04/2021

Sejak hari tersebut sehingga ke hari ini, saya tidak dapat membalas dendam (revenge) mereka-mereka yang pernah dan telah menyerang 'base' saya sebelumnya.

Klip video dibawah saya rakam menunjukkan setiap kali saya cuba untuk 'revenge', skrin seperti gambar di atas muncul.

Saya telah membuat banyak aduan kepada 'developer' COC dan sehingga ke hari ini kira-kira dua minggui telah berlalu namun masalah tetap sama dan tiada tanda-tanda telah diperbetulkan.


Sebelum dikemaskini pada 12/4/2021 lepas saya masih boleh 'revenge'. Mungkinkah kerana saya berada di liga legend (legend league) tidak dibenarkan 'revenge'?

Saturday 24 April 2021

ASTRO DMT880 repair

Hujung bulan lepas saya dirujuk sebuah dekoder astro model DMT880 dengan masalah lazim iaitu indikator tidak menyala setelah dibekalkan arus elektrik.

Astro NJOI - DMT880

Menurut pemilik, ketika kali terakhir diuji, ianya boleh dihidupkan namun padam sebelum boleh menonton siaran.

Model: DMT880

Ketika dirujuk kepada saya, ianya langsung tidak dapat dihidupkan dan indikatornya langsung tidak menyala.

Ini merupakan julung kali saya dirujuk dekoder model DMT880 dan sekali pandang bahagian luarannya serupa dengan model DS830NA namun ada sedikit perbezaan pada bahagian belakangnya. Salah satu skru ditutup menggunakan plastik yang bertindak sebagai 'warranty seal' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

warranty seal...

'Warranty seal' tersebut harus di buka dan akan pecah setelah dibuka serta tidak dapat di pasang kembali semula.

Komponen yang rosak...

Gambar di atas merupakan keadaan di dalamnya setelah penutup dibuka dan rekabentuk papan litar juga berbeza dengan model DS830A. Pemeriksaan menyeluruh pada papan litar mendapati 3 biji kapasitor yang telah saya tandakan pada gambar di atas rosak dan harus diganti.

Testing...

Nilai ketiga-tiga kapasitor tersebut ialah:-

  1. sebiji 220uF, 35V
  2. dua biji 100uF, 35V

Setelah ketiga-tiga kapasitor tersebut saya gantikan dengan yang baru dan diuji, dekoder astro tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan semula.

Ketika diuji, indikator akan mengeluarkan perkataan 'boot' dan seterusnya dua lampu merah akan menyala serta diikuti dengan nyalaan satu lampu sahaja seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Dekoder lama ini jauh lebih tahan berbanding dengan dekoder baru yang lebih mudah rosak dan kadang-kadang tidak berjaya dibaiki. Chip prossesor juga tidak dilengkapi dengan 'heat sink' seperti boleh dilihat pada model DS830NA.

Tested - ok

Selamat mencuba...

Friday 23 April 2021

LG MS-192W microwave repair

Sebelum ini saya pernah baiki ketuhar gelombang mikro (microwave) seperti ini dan anda boleh rujuk di sini, sini dan sini.

Jenama: LG

Masalah microwave ini ketika dirujuk kepada saya ialah boleh dihidupkan namun tidak panas.

Model: MS-192W

Majoriti masalah microwave yang tidak panas adalah pada bahagian HV (high voltage) namun tiada komponen yang ditemui rosak setelah diperiksa.

Mayat cicak ditemui...

Seterusnya saya uji microwave tersebut dengan membekalkan arus elektrik dan mendapati tiada bekalan elektrik ke bahagian HV.

Suis timer rosak...

Puncanya ialah suis pada bahagian timer tidak berfungsi dan tiada 'continuity' setelah dilaras seperti boleh dilihat pada gambar di atas.

Buka suis timer...

Gambar di bawah merupakan keadaan di dalam suis setelah dibuka dan kelihatan ada kesan hitam pada terminal yang bersentuh apabila dilaras.

Setelah suis timer dibuka...

Apa yang saya lakukan ialah bersihkan bahagian suis sentuh yang berwarna hitam dengan menyembur 'contact cleaner'.

suis sentuh tidak elok...

Setelah siap dibersihkan dan diperiksa menggunakan multimeter, kini suis timer ada 'continuity' seperti boleh dilihat pada gambar di bawah iaitu 211Ω.

Siap...

Percaya atau tidak, microwave tersebut telah berjaya diselamatkan dan masih boleh digunakan dengan hanya menyelengara suis pada timer seperti di atas.

Selamat mencuba...

Thursday 22 April 2021

SAPID NO.796 Educational School Bus Toy repair

Pagi ini saya dirujuk sebuah bus mainan kanak-kanak seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

SAPID NO.796

Pemilik memberitahu saya ianya tidak berfungsi sahaja dan meminta saya membantu membaikinya sebab ianya adalah alat permainan untuk mendidik kanak-kanak.

Bahagian bawah...

Setelah diperiksa, saya dapati hanya spring pada bahagian bateri sahaja didapati hilang seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Spring bateri tengah hilang...

Kehilangan spring tersebut adalah disebabkan kebocoran bateri yang menyebabkan terminalnya berkarat serta rosak.

Buka & bersihkan...

Saya buka kepingan tersebut dan membersihkannya dengan menggunakan kertas pasir. Spring yang saya gantikan diambil dari alat kawalan jauh yang tidak dapat dibaiki lagi seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Cari spring yang bersesuaian...

Spring baharu saya pateri menggunakan timah supaya tidak jatuh atau hilang lagi selepas ini.

Pasang & pateri spring baru...

Setelah kepingan yang telah saya lengkapi dengan spring baharu dipasang kembali ke kedudukan asal serta di uji, alat mainan tersebut telah berjaya diselamatkan dan boleh berfungsi semula.

Siap...

Saya dapati alat mainan ini sangat berinformatif dan sesuai untuk pendidikan awal kanak-kanak seperti boleh ditonton pada klip video di penghujung artikel ini.

Testing...

Selamat mencuba...