Monday 31 August 2020

Hari kebangsaan (National Day)

Pada hari ini dalam tahun 1957, persekutuan tanah melayu (federation of Malaya) atau juga dikenali sebagai Malaya (kini dipanggil semenanjung malaysia) telah mencapai kemerdekaan dari jajahan British ketika itu.

Malaysia ketika di awal penubuhannya pada 16 September 1963 terdiri daripada gabungan 4 wilayah iaitu Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Dua tahun kemudian pada 9 Ogos 1965, Singapura telah memilih meninggalkan persekutuan Malaysia.

Berdasarkan tarikh-tarikh yang tercatat pada gambar di atas, banyak kesilapan fakta, pemahaman serta kenyataan yang kita lakukan seharian selama ini termasuk saya sendiri. Antaranya ialah:-

1. Selamat menyambut hari kebangsaan ke-63

Kenyataan di atas hanya terpakai di Semenanjung Malaysia (Malaya) dan tidak pada Sabah dan Sarawak sebab tarikh kemerdekaan Sabah dan Sarawak bukannya pada tahun 1957. Sabah dan Sarawak hanya mencapai kemerdekaan pada tahun 1963 iaitu cuma 57 tahun sahaja mencapai kemerdekaan sehingga tahun ini (2020).

Di Sabah dan Sarawak harus disebut 'Selamat menyambut hari kebangsaan ke-57.

2. Selamat menyambut hari kemerdekaan

Kenyataan di atas hanya terpakai untuk Malaya dan Sabah sahaja sebab tarikh kemerdekaan untuk kedua-duanya adalah sama namun pada tahun yang berbeza.

Walaupun tarikh kemerdekaan Sarawak pada 22/7/1963 dipertikai oleh pihak tertentu dan anda boleh membacanya di sini, yang pasti hari ini (31 Ogos) bukan hari kemerdekaan Sarawak.

3. Selamat menyambut hari kemerdekaan Malaysia

Kesilapan kenyataan di atas ialah pada perkataan 'Malaysia' sebab Malaysia hanya wujud pada 16 September 1963 dan tidak pernah dijajah. Di mana datangnya kemerdekaan jika tidak pernah dijajah? 

Jika disebut 'selamat menyambut hari kemerdekaan Malaya/Sabah' itu betul sebab tarikh hari ini sememangnya hari kemerdekaan Malaya/Sabah dan bukannya Malaysia.

 4. Selamat hari jadi Malaysia (祝马来西亚生日快乐)

Kenyataan ini adalah kesilapan yang saya dengar pada stesen radio RedFM pagi ini. Ramai yang mengucapkan '祝马来西亚生日快乐' secara berulang-ulang. Mungkinkah ianya merujuk kepada hari Malaysia yang jatuh pada 16 September bulan depan? Yang pasti hari ini masih bulan Ogos dan bukannya bulan September.

Di atas merupakan kesilapan yang kita (saya dan anda) lakukan selama ini sehingga menyebabkan kesilapan fakta sejarah berpanjangan yang tidak berkesudahannya hingga hari ini.

Mungkin pendidikan sejarah di sekolah harus dikaji semula...

Tema sambutan hari kebangasaan tahun ini (2020) ialah 'Malaysia Prihatin'.

Apa pun, 

- Selamat menyambut hari kebangsaan/kemerdekaan ke-63 kepada Malaya (semenanjung Malaysia)

- Selamat menyambut hari kebangasaan ke-57 kepada Sarawak

- Selamat menyambut hari kemerdekaan/kebangsaan ke-57 kepada Sabah

Untuk mengelak kesilapan, cukup dengan mengucap:-

"Selamat menyambut hari kebangsaan"

Sunday 30 August 2020

Berhemah ketika berbelanja

Secara amnya, jika kita membeli sesuatu dalam kuantiti yang banyak harga barangan akan lebih murah berbanding dengan membeli dalam kuantiti yang sedikit.
Pemborong biasanya menjual barangan dalam kuantiti yang banyak kepada peruncit manakala peruncit pula menjualnya dalam kuantiti yang lebih kecil kepada pengguna berbanding pemborong.

Jika kita lihat pada gambar di atas, sebagai pelanggan mana satu lebih murah? Kiri atau kanan?
  • Kiri - Satu bungkus mee yang terdiri daripada 5 bungkusan kecil berharga RM3.29
  • Kanan - Satu bungkus mee yang terdiri daripada 10 bungkusan kecil berharga RM6.69.
Berikut adalah perbezaan harga setiap bungkusan kecil mee tersebut:-
  • Kiri - RM3.29/5 = RM0.658
  • Kanan - RM6.69/10 = RM0.669

Perbezaannya ialah kira-kira satu sen sebungkus (RM0.669- RM0.658 = RM0.011).

Jika anda membeli 2 bungkus sebelah kiri, anda cuma perlu membayar RM6.58 dan anda juga boleh dapat 10 bungkusan kecil serta boleh berjimat sebelas sen atau sepuluh sen sahaja setelah digenapkan.

Fikir-fikirkan...

Saturday 29 August 2020

Masalah piring microwave tidak berpusing

Hari ini saya kongsikan cara membaiki ketuhar gelombang mikro (microwave) dengan masalah piring di dalamnya tidak berpusing.

Kali ini saya dirujuk microwave lama berjenama National dengan masalah seperti dinyatakan di atas. Jenama National kini telah pupus dan dijenamakan semula sebagai Panasonic.

Jika microwave anda ada masalah sedemikian, baringkan microwave dan buka penutup bahagian bawahnya. Di dalam terdapat sebiji motor yang mengerakkan piring microwave seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.

Motor tersebut elok ketika saya periksa dengan multimeter, maksudnya tiada kerosakkan dari sudut berkaitan elektrik/elektronik.

Jika tidak rosak kenapa tidak berpusing? Seterusnya saya bekalkan elektrik serta uji microwave tersebut dan mendapati ianya boleh berpusing namun bila di tahan menggunakan jari, motor tersebut gagal berpusing seperti boleh dilihat pada klip video di atas.

Kerosakkan telah ditemui dan anda cuma perlu beli motor yang baru dan tukar. Anda cuma perlu cabut wayar dan buka dua biji skru sahaja untuk mengeluarkan motornya.

Ketika memilih alat ganti yang baru, pastikan anda cari speksifikasi yang sama iaitu:-

  1. Pastikan voltan sesuai, ada 220v, 120v, 30v dan 21v. (micorwave ini perlukan 240v)
  2. Pastikan saiznya sama (Majoriti saiznya standard dan sama namun ada sesetengah menggunakan saiz yang lebih besar serta lubang skrunya berbeza)
  3. Pastikan kelajuannya sama, ada 1rpm, 2rpm, 3rpm dan sebagainya (Mikrowave ini menggunakan kelajuan 5/6rpm)
  4. Pastikan frekuensinya sesuai (Biasanya standard iaitu 50/60Hz)

Gambar di bawah menunjukkan motor asal yang telah saya buka dan anda boleh lihat sebiji gear yang berwarna kekuningan telah haus dan ini merupakan perkara yang sering terjadi.

Anda tidak perlu membuang masa mencari gear yang haus tersebut untuk ditukar sebab saya pernah cari dan tiada yang menjualnya. Jika anda terjumpa alat ganti untuk gear yang haus sahaja, tinggalkan mesej di ruangan komen di bawah. Saya nak juga...

Kiri - baru, kanan - rosak

Harga sebiji motor yang baru anda boleh dapat dari serendah RM10 sebiji sehingga RM100 sebiji bergantung kepada qualitinya. Anda boleh cuba cari di shopee/lazada/alibaba dengan menaip 'microwave turntable motor' dan tekan 'search'. Jangan terkejut ada yang menjual dengan harga di bawah RM10. Tepuk dada, tanya selera. Pilihan di tangan anda...

Selamat mencuba...

Friday 28 August 2020

Hair steamer machine repair

Baru-baru ini saya dirujuk sebuah mesin untuk kegunaan di saloon. Saya tidak pasti apakah jenama serta model mesin tersebut namun yang pasti ianya mengeluarkan wap ketika digunakan.

Pemilik memberitahu saya ianya kadang-kadang tidak mengeluarkan wap dan kadang-kadang boleh mengeluarkan wap namun tidak kuat.

Beliau telah merujuk kepada pembekal dan mereka menasihatkannya agar merendam nozzle yang mengeluarkan wap tersebut di dalam cuka untuk membersihkannya dan meminta saya mencuba.

Dari maklumat yang diberi oleh pemilik, saya buka mesin tersebut dan cari punca di mana ianya sumbat. Saya buka kesemua hos di dalamnya dan tiup satu per satu namun tidak menemui mana-mana yang tersumbat termasuk nozzle penyembur stim.

Seterusnya saya buka panel bahagian atasnya dan setelah diperiksa, tiada komponen yang rosak ditemui. Hampir kesemua mesin tersebut telah saya selongkar dan masih menemui punca masalahnya.

Seterusnya saya periksa sambungan kesemua wayar pada mesin tersebut dan menemui salah satu telah cedera (penyalutnya koyak) seperti telah saya tandakan pada gambar di bawah. Penyalut tersebut koyak sebab bergesel dengan 'heat sink' pada papan litarnya.

Saya tukarkan wayar tersebut dengan yang baru dan susun semula pendawaiaannya agar tidak bersentuhan dengan mana-mana bahagian papan litar termasuk 'heat sink'.

Setelah siap menukar wayar serta menyusun semula pendawaiaan yang ada serta diuji, masalah tidak mengeluarkan wap atau wap yang keluar tidak kuat telah selesai dan ianya masih boleh digunakan semula.

Klip video di bawah diambil ketika ianya telah siap saya baiki dan diuji.

Selamat mencuba...

Thursday 27 August 2020

theben DM 2 T KNX repair

Kali ini saya dirujuk sebuah 'dimmer' berjenama theben, Model: DM 2 T KNX dengan masalah tidak dapat dihidupkan setelah arus elektrik dibekalkan kepadanya.

theben DM 2 T KNX

Setelah dibuka, jelas kelihatan ada komponen yang telah hangus dan berwarna hitam seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Setelah penutup dibuka...

Gambar di bawah pula merupakan pandangan dekat dan komponen yang telah hancur tersebut ialah varistor dengan nombor rujukan S10J250.

Varistor meletup...

S10 merujuk kepada saiz varistor tersebut iaitu 10mm. Huruf J merujuk kepada tolenransi iaitu 5% (jika huruk K = 10%, L=15%) dan akhirnya 250 merujuk kepada voltan iaitu 250v.

Thermal fuse putus...

Setelah varistor tersebut dibuka, thermal fius di belakangnya juga putus dan rujukkannya ialah 130C.

Komponen baru & rosak...

Pemeriksaan menyeluruh hanya menemui kerosakkan pada kedua-dua komponen seperti di atas iaitu thermal fuse dan varistor sahaja.

Siap...

Setelah komponen yang rosak ditukar serta diuji, ianya kini telah boleh dihidupkan dan masih boleh digunakan semula.

Tested - ok

Jika anda tanya saya bagaimana saya tahu nombor rujukan komponen yang rosak di atas sedangkan ianya telah hangus dan label tidak kelihatan, jawapanya ialah saya buka yang elok untuk pengesahan seperti boleh dilihat pada dua gambar di bawah.

130C thermal fuse
Kerosakkan varistor seperti di atas adalah disebabkan oleh bekalan elektrik yang melebihi kemampuan varistor tersebut iaitu 250v (+/-5%). Maksudnya maksimun voltan setelah ditambah 5% ialah 262.5vac [(250 x 5%) + 250].
S10J250 varistor

Cara untuk mengawal kecerahan lampu ialah dengan mengawal voltan ke lampu iaitu dari serendah 115vac sehingga maksima 240vac (sama dengan input) seperti telah saya labelkan pada gambar di bawah.

Bacaan voltan...

 Klip video di bawah saya ambil ketika saya mengujinya setelah siap dibaiki.

Selamat mencuba...

Wednesday 26 August 2020

JOSEPH PRODOTTO hair straightener repair

Sebelum ini saya pernah membaiki alat untuk meluruskan rambut (hair straightener) dan anda boleh membacanya di sini.

Jenama: JOSEPH PRODOTTO

Pagi ini saya dirujuk sebuah alat untuk meluruskan rambut berjenama JOSEPH PRODOTTO dengan masalah kadang-kadang tidak panas atau tidak dapat dihidupkan.

Pemilik juga ada memberitahu saya, selain daripada tidak panas, kadang-kadang ada kedengaran bunyi percikan api ketika digunakan.

Memandangkan ianya jenis digital, saya tidak dapat membuat pemeriksaan hanya dengan menggunakan multimeter sahaja tanpa dibuka.

Benda pertama yang saya buka ialah plug 3-pin dan keadaan di dalamnya adalah seperti boleh dilihat pada gambar di atas. Jelas kelihatan bahagian wayar berwarna coklat ada kesan percikan api (berwarna putih pada plug 3-pin) dan setelah saya buka wayar tersebut ianya longgar serta banyak kesan teroksida (oxidized) akibat percikan api.

Kesan teroksida tersebut saya bersihkan termasuk bahagian terminal penyambungnya dengan 'contact cleaner'.

Jika mengikut standard, wayar hidup (coklat) sepatutnya disambung kepada bahagian fius dan saya betulkan kembali sambungannya seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.

Percaya atau tidak, semua masalah di atas selesai hanya dengan membetulkan serta menyelengara plug 3-pin sahaja.

Klip video di bawah menunjukkan ianya telah saya baiki dan masih boleh digunakan lagi tanpa masalah lagi.

Selamat mencuba...

Tuesday 25 August 2020

Baiki TV Plasma LG 42PX3RV-TA

TV seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini.

Jenama: LG, Model: 42PX3RV-TA

Masalah TV ini ketika dirujuk kepada saya ialah layarnya berkelip-kelip seperti boleh dilihat pada klip video di bawah.

Ini merupakan TV plasma dan gambar di bawah menunjukkan bahagian dalam setelah penutup belakangnya telah saya buka.

Setelah penutup belakang saya buka...

Walaupun simptomnya berbeza dengan TV sama yang lepas namun kerosakkannya hampir sama iaitu tidak menghasilkan bekalan elektrik yang mencukupi untuk kegunaan layarnya.

PSU

Kerosakkannya ialah pada PSU (Power supply unit) dan komponen yang rosak saya temui telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Komponen rosak ditemui...

Sebenarnya ianya amat mudah untuk mencari komponen yang rosak terutamanya kapasitor. Jika anda perhatikan gambar di atas, kesemua kapasitor yang rosak telah kembung bahagian belakangnya.

Komponen rosak telah siap ditukar...

Kali ini hanya 5 biji kapasitor yang ditemui rosak dan gambar di atas menunjukkan telah siap saya baiki.

Tested - ok

Setelah siap dibaiki dan dipasang kembali ke kedudukan asal serta diuji, masalah berkelip-kelip telah selesai dan telah berjaya diselamatkan.

Komponen yang rosak...

Selamat mencuba...

Monday 24 August 2020

OSRAM QUICKTRONIC QT-T/E 2x26-42/230-240 D/M ballast repair

Sebelum ini saya pernah membaiki ballast berjenama OSRAM dan anda boleh membacanya di sini.

OSRAM QUICKTRONIC QT-T/E 2x26-42/230-240 D/M

Ballast yang dirujuk kali ini berbeza dengan sebelumnya dan perbezaannya ialah ballast ini harus disambung kepada dua biji lampu serentak. Ianya tidak akan menyala jika disambung kepada sebiji lampu sahaja.

Setelah penutup dibuka...

Masalah ballast ini ialah lampu tidak menyala bila disambungkan kepadanya. Setelah saya buka dan periksa, dua komponen ditemui rosak dan telah saya tandakan pada gambar di atas.

Bahagian bawah papan litar...

Komponen yang rosak ialah:-

  1. sebiji kapasitor 150nF, 400v (u15 = 0.15uF = 150nF)
  2. sebiji perintang 0.58Ω

C3 - u15 = 0.15uF = 150nf

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan komponen yang rosak dan boleh dilihat dengan jelas hanya dengan mata kasar sahaja.

R114 - 0.58Ω

Setelah siap dibaiki, anda perlukan sambungkan dua biji lampu kepadanya dan cara sambungannya boleh dilihat pada gambar di bawah.

Cara sambungan...

Ballast tersebut telah berjaya diselamatkan setelah kedua-dua komponen yang rosak telah diganti dan masih boleh digunakan semula.

Tested - ok

 Selamat mencuba...

 

Sunday 23 August 2020

Tandas canggih moden menggunakan elektrik

Beberapa hari yang lepas saya dipanggil untuk membaiki sebuah tandas canggih dengan kelengkapan serba serbinya yang telah lama popular di negara maju seperti Jepun & Korea.

Gambar di atas menunjukkan pandangan atas tandas dan bahagian belakangnya dilengkapi dengan serba serbinya yang dikawal dengan alat kawalan jauh.

Ianya juga boleh berfungsi dengan menekan butang pada bahagian tepi sebelah kanan ketika kita duduk pada mangkuk tandas tersebut. Fungsi-fungsinya yang serba canggih hanya beroperasi selepas kita duduk pada mangkuk tandas tersebut.

Pemilik memberitahu saya masalahnya ialah butang pada gambar di atas tidak berfungsi dengan sempurna dan meminta saya membaikinya. Selain daripada itu, alat kawalan jauhnya juga tidak berfungsi langsung ketika diserahkan kepada saya.
Apabila saya buka dan periksa, tiada komponen yang rosak dan butang yang tidak berfungsi dengan sempurna itu disebabkan kerap ditekan dan ianya jauh dari suisnya. Saya cuma ketatkan skrunya dan ianya telah kembali berfungsi seperti biasa semula.
Masalah alat kawalan jauh yang tidak berfungsi pula adalah disebabkan salah satu terminal pada bateri telah berkarat dan telah saya tandakan pada gambar di atas. Saya cuma bersihkan terminal yang berkarat tersebut dengan kertas pasir dan ianya boleh digunakan semula.

Saya sempat menguji beberapa fungsi yang ada pada tandas canggih tersebut. Antaranya ialah:-

  1. Sensornya ialah pada tempat duduk mangkuk tandas tersebut. Selepas duduk ianya akan 'flush' sedikit air ke dalam mangkuk tandas dan tujuannya ialah supaya basah dan apa-apa yang dilepaskan didalamnya tidak melekat dan mudah dibersihkan.
  2. Ada dua 'bidet spray' didalamnya dan anda boleh pilih melalui alat kawalan jauh mahupun di tekan secara manual.
  3. Ada fungsi untuk memanasakan air supaya suam dan sesuai dengan suhu badan pengguna. Suhu yang pengguna inginkan juga boleh dilaras mengikut kehendak masing-masing.
  4. Ada fungsi pengeringan dan kelajuan kipas boleh dilaras mengikut kehendak pengguna.
  5. Selepas menggunakan tandas, ianya akan 'flush' sendiri selepas pengguna tidak lagi duduk pada mangkuknya.
  6. Pengguna juga boleh melaras kuantiti air yang ingin di 'flush'. Jika buang air kecil, laraskan ke minima untuk penjimatan air.

Itu lah serba sedikit yang telah saya uji dan saya yakin masih ada fungsi-fungsi lain lagi yang tidak sempat saya uji. 

 Menurut pemilik, ianya telah digunakan hampir lima tahun tanpa masalah dan saya berpendapat ianya amat baik dari segi kualitinya. Kerosakkan di atas bagi saya adalah kecil dan boleh diselengara sendiri.