Tuesday 31 March 2020

Amaryllis Belladonna

Sejak perintah kawalan pergerakan di negara kita bermula pada 18/3/2020, bosan juga duduk seorang-seorang di rumah.
24/03/2020
Nasib baik ada juga bunga yang saya tanam dalam pasu berbunga seminggu yang lepas.
24/03/2020
Pada mulanya saya pernah diberitahu bahawa nama bunga ini 'bunga bawang belanda'.
25/03/2020
Saya tidak pasti kenapa ia dinamakan bunga bawang belanda tetapi yang pasti pangkalnya bulat seperti bentuk bawang.
26/03/2020
Setelah puas mencari di 'google' akhirnya saya menemui nama saintifiknya iaitu Amaryllis Belladonna.
27/03/2020
Menurut Wikipedia, tumbuhan ini berasal dari Afrika Selatan dan anda boleh membacanya di sini.
28/03/2020 @ 8:00hr
Gambar-gambar di atas dan di bawah saya ambil setiap hari dan menunjukkan proses dari mula ianya mekar sehingga layu.
28/03/2020 @ 11:00hrs
Daun pokok bunga ini seakan-akan daun pandan.
28/03/2020 @ 16:00hrs
Selain daripada warna pink, saya juga pernah melihat bunga ini berwarna oren, kuning dan putih.
29/03/2020 @ 7:00hrs
Kaum cina menamakan bunga ini 'la ba hua' atau 'bunga pembesar suara' mungkin disebabkan bentuknya seakan-akan pembesar suara gramofon atau pembesar suara yang boleh dilihat pada masjid.
29.03/2020
Setiap kali berbunga ianya mengeluarkan 4 kuntum bunga seperti boleh dilihat pada gambar di atas dan di bawah.
30/03/2020 - layu..
31/03/2020

Monday 30 March 2020

APC ES500 (UPS) repair

Sebelum ini saya pernah membaiki UPS seperti ini dan anda boleh membacanya di sini.

Setelah penutup bawah dibuka...

Pagi ini saya dirujuk sebuah UPS berjenama APC, Model: ES500 dengan kerosakkan yang sama seperti yang pernah saya baiki dahulu.

Relay rosak...

Sebelum saya buka dan periksa, saya uji UPS tersebut dan masalahnya ialah kadang-kadang buzeer berbunyi tak henti setelah butang 'power' di tekan dan kadang-kadang elok seperti biasa.

Keluarkan relay yang rosak...

Apabila dibuka dan diperiksa, kerosakkannya sama seperti yang pernah saya baiki sebelum ini iaitu relay gagal berfungsi dengan sempurna dan kedudukan relay tersebut telah saya tandakan pada gambar di bawah.

Gantikan relay yang baru...

Setelah relay tersebut saya gantikan dengan yang baru dan diuji, masalah buzzer melalak tiada lagi dan ianya masih boleh digunakan semula.

Tested - ok

Kali ini saya kongsikan cara bagaimana mengenalpasti dan memeriksa relay yang rosak. Gambar di bawah menunjukkan terminal yang ada pada relay tersebut dan cara untuk mengujinya ialah seperti berikut:-

  1. Tiada 'continuity' pada terminal C & D dan E & F jika A & B tidak dibekalkan 12vdc.
  2. Sambungkan bekalan 12vdc kepada terminal A & B, bunyi 'tik' akan kedengaran.
  3. Guna multimeter dan periksa 'continuity' pada terminal C & D serta E & F. 
  4. Jika tiada 'continuity' pada C & D atau E & F apabila 12vdc disambung kepada A & B, relay tersebut rosak.

Ketika saya membekalkan 12vdc kepada terminal A & B, bunyi 'tik' kedengaran namun tiada 'continuity' pada terminal C & D mahupun E & F. Jadi, relay tersebut telah disahkan rosak.

Terminal pada bahagian bawah relay...

Selamat mencuba...

Sunday 29 March 2020

Pakej Kiah Tertipu - A Kadir Jasin

BANYAK juga pengunjung Blog dan Facebook saya yang bertanya pandangan saya mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin siang tadi.
Bagi memudahkan lagi kefahaman mengenainya, izinkan saya menulis semula nukilan bertajuk "Pakej Kiah Tertipu".

Rencana tersebut adalah analisis pakar ke atas pakej berkenaan. Antara perkara perlu dipertimbangkan dan difahami adalah seperti berikut:

1. Walaupun pakej itu berjumlah RM250 bilion tetapi adalah dianggarkan tidak sampai 10% atau hanya sekitar RM22 bilion saja duit kerajaan. Yang selebihnya adalah duit rakyat jelata sendiri. Duit kita.

2. Namun kita alu-alukan peruntukan tambahan RM1 bilion kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha memerangi wabak besar Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang.

3. Kalau kerajaan hanya peruntukkan RM22 bilion duit negara, dari manakah datang jumlah RM250 bilion yang Muhyiddin umumkan itu?

4. Jawapannya adalah sebahagian besar – mungkin hingga 90 peratus – daripada jumlah RM250 bilion itu adalah kemudahan kewangan. Kemudahan kewangan tidak sama dengan peruntukan kewangan.

5. Kalau begitu, dari manakah datangnya baki RM228 bilion pakej itu? Jawabnya daripada duit rakyat jelata sendiri yang wujud dalam berbagai-bagai bentuk dan di bermacam-macam tempat.

6. Misalnya, RM100 bilion adalah dalam bentuk penangguhan bayaran balik hutang rakyat jelata kepada bank. Duit kita sendiri. Bank hanya tangguh sementara. Lambat laun kena bayar juga.

7. Kemudian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) benarkan kita yang ada simpanan untuk keluarkan sebahagian daripadanya. Jumlah itu dianggarkan RM40 bilion. Sekali lagi duit kita, bukan duit kerajaan.

8. Kita juga dibenarkan tangguh caruman kepada KWSP dan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau Human Resource Development Fund (HRDF) untuk selama enam bulan yang jumlah besarnya RM6 bilion serta jaminan pinjaman daripada Danajamin sebanyak RM50 bilion. Semua ini duit rakyat sendiri.

9. Muhyiddin bagi contoh seorang suri rumah yang dia bagi nama Makcik Kiah. Makcik Kiah ni suami dia pesara tapi terus bekerja sebagai pemandu Grab dan ahli Rela, ada anak seorang. Tapi bukan semua orang macam Makcik Kiah. Muhyiddin kata, dengan semua kemudahan yang dia umumkan itu, Makcik Kiah dan keluarganya akan dapat penjimatan RM4,464. Tapi penjimataan sebenar hanyalah RM864 pasal pinjaman kereta (RM1,800), PTPTN (RM1,200) dan kredit mikro (RM600) yang jumlahnya RM3,600 akhirnya kena bayar balik juga.

10. Sebenarnya Makcik Kiah hanya jimat sewa rumah PPR sebanyak RM744 dan bil letrik RM120 sebulan. Jadi yang Makcik Kiah jimat hanyalah RM864 bukan RM4,464.

11. Macam mana pula dengan Makcik Limah, seorang suri rumah yang tinggal di Kampung? Suaminya bekerja di kedai tomyam bergaji hari. Anak tiga orang masih di sekolah rendah. Jumlah bantuan prihatin RM1,600 dan baki Bantuan Sara Hidup RM600. Jumlah semuanya RM2,200. Jauh lebih rendah daripada yang Muhyiddin sebut dalam ucapan di televisyen.
Muhyiddinomics: merangsangkan Mak Cik Kiah
12. Bantuan kepada Mak Cik Kiah bukan setiap bulan tapi hanya sekali sahaja dan akan dibayar dua kali, setengah setengah.

13. Ramai orang akan hilang pekerjaan. Kerajaan hanya bayar RM600 subsidi upah kepada majikan. Tapi syarikat yang tidak ada pendapatan akan tetap buang pekerja atau tutup terus. RM600 terlalu sedikit bagi membantu atau menggalakkan majikan terus bayar gaji atau mengekalkan pekerja. Sebagai perbandingan, Kerajaan Singapura bayar sehingga 75% daripada gaji pekerja. Jika gaji S$4,500 Kerajaan Singapura bayar S$3,375 untuk tempoh sembilan bulan. Kita bagi tiga bulan sebanyak RM600. Ini tidak cukup untuk mengelak jutaan pekerja kilang daripada dibuang.

14. Bantuan baru kepada mereka yang hilang sumber pendapatan kerana dibuang kerja antara RM500 dan RM1,600 (bantuan prihatin) pun dibayar sekali saja.

15. Sebagai perbandingan, kos sara hidup di Kuala Lumpur untuk suami isteri dan dua orang anak adalah RM6,700 sebulan. Di Singapura, kerajaan bagi S$800 (kira-kira RM2,400) sebulan selama tiga bulan kepada yang hilang pekerjaan. Bagi yang kerja sendiri, kerajaan mereka bagi S$1,000 (RM3,000) sebulan selama sembilan bulan. Kita bagi sekali saja.

16. Menurut Kementerian Kewangan, kadar pertumbuhan ekonomi dijangka tidak turun di bawah sifar (0 peratus). Tapi ramai ahli ekonomi menganggarkan yang ekonomi akan menguncup dan sekurang-kurangnya sejuta orang akan hilang pekerjaan.

17. Kesimpulannnya, Mak Cik Kiah janganlah mudah tertipu. Bantuan yang diberikan terlalu kecil dan tidak mencukupi untuk mengatasi mala petaka ekonomi ini. Kerajaan masih kedekut. Peruntukan kewangan sebenar hanyalah sekitar RM22 bilion bukan RM250 bilion seperti yang diuar-uarkan. Malah jumlah ini termasuk RM20 bilion daripada pakej yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lalu.

18. Orang yang tidak faham ekonomi dan kewangan tentu seronok sebab dapat sedikit bantuan yang meringankan sedikit beban. Tapi orang faham ekonomi dan kewangan akan membuat analisis dan simulasi yang lebih luas dan mendalam.

Wallahuaklam. Terima kasih.

Sumber

Saturday 28 March 2020

Magnetron test procedure

Hari ini saya kongsikan cara bagaimana memeriksa dan menentukan magnetron yang digunakan pada ketuhar gelombang mikro (microwave) masih elok atau sebaliknya.

Magnetron

Gambar di bawah menunjukkan kerosakkan pada magnetron yang boleh dilihat dengan mata kasar iaitu 'magnetron cap' telah rosak.

Kerosakkan pada 'magnetron cap'...

'Magnetron cap' yang rosak boleh diganti hanya dengan menukarkan 'magnetron cap' yang baru sahaja.

Keluarkan 'magnetron cap' yang rosak...

Gantikan 'magnetron cap' yang baru...

Selain daripada 'magnetron cap' yang rosak, magnet yang pecah juga merupakan salah satu punca kerosakkkan magnetron dan ianya boleh dibaiki jika anda mampu membukanya dan tukar magnet yang pecah dengan yang baru.

Magnet pecah...

Jika tiada kerosakkan yang boleh dlihat dengan mata kasar, berikut merupakan cara memeriksa magnetron dengan menggunakan multimeter analog atau multimeter digital:-

1. Multimeter analog

Bacaan kedua-dua terminal harus di bawah 1Ω
  • Laraskan multimeter kepada rintangan paling rendah (x1) dan bacaan di antara terminalnya mesti di bawah 1Ω.
Tiada bacaan di antara terminal dengan casis (ground)
  • Laraskan multimeter kepada rintangan paling tinggi (x10K) dan tiada bacaan langsung di antara terminal dengan chaasis (ground). Jika ada bacaan pada multimeter, magnetron rosak dan harus diganti.
2. Multimeter digital
Bacaan kedua-dua terminal harus di bawah 1Ω
  • Laraskan multimeter kepada bahagian rintangan dan bacaan di antara terminalnya mesti di bawah 1Ω.
Tiada bacaan di antara terminal dengan chassis (ground)
  • Laraskan multimeter kepada bahagian rintangan dan tiada bacaan langsung di antara terminal dengan chassis (ground). Jika ada baccan pada multimeter, magnetron rosak dan harus diganti.
Magnetron rosak - litar pintas di antara terminal dan casis (ground)

Gambar di atas dan di bawah menunjukkan contoh magnetron yang rosak bila diperiksa dengan menggunakan multimeter analog (atas) atau digital (bawah).

Magnetron rosak - litar pintas di antara terminal dan chassis (ground)

Selamat mencuba...

Friday 27 March 2020

Enchanced Movement Control Order (EMCO)

Negara kita telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) berkuatkuasa mulai 18/3/2020 sehingga 31/03/2020 yang kemudiannya telah dilanjutkan sehingga 14/04/2020.

Mulai tengah malam tadi negara kita telah melaksanakan arahan yang lebih ketat iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enchanced Movement Control Order) di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang , Johor berikutan jumlah kes positif CoVid-19 yang tinggi di dua kawasan tersebut selama dua minggu mulai 27/3/2020 hingga 9/4/2020.

Anda boleh baca keterangan lanjut kawalan tersebut pada kenyataan akhbar di atas di mana penduduk tidak dibenarkan keluar atau masuk ke dua kawasan tersebut dan semua jalan masuk ditutup.
Keperluan makanan asas akan disediakan oleh JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Keadaannya kini adalah seperti darurat di zaman Jepun.

Kepada orang ramai yang masih tidak mengendahkan perintah kawalan pergerakan sebelum ini, tolonglah patuh hanya dengan 'duduk diam-diam di rumah' dan keluar rumah hanya jika perlu sahaja.

Marilah kita sama-sama membantu untuk membendung pandemik CoVid-19 yang amat dahsyat ini. Kita tidak mahu ada kampung atau daerah yang dikenakan kawalan yang lebih ketat lagi seperti ini.

Jika keadaan berlarutan lebih lama lagi, sesungguhnya ianya tidak menguntungkan mana-mana pihak.

INGAT - JUST STAY AT HOME

Thursday 26 March 2020

Cuti Tanpa Gaji

Baru-baru ini ramai yang telah diarah cuti tanpa gaji dek kerana penularan pandemik CoVid-19.
Semalam, perdana menteri kita telah mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan yang pada awalnya selama 2 minggu berakhir pada 31/3/2020 kini telah dilanjutkan 2 minggu lagi ke 14/04/2020.
EIS (Employment Insurance Scheme)
Kerajaan juga ada mengumumkan kelonggaran untuk mengeluarkan caruman KWSP akaun 2 dengan syarat pengeluaran tidak melebihi RM500.00 sebulan selama 6 bulan bagi menangani masalah ini.

Ramai yang terlupa bahawa mereka telah dipaksa mencarum Skim Insuran Pekerjaan (SIP) atau dalam bahasa english 'Employment Insurance Scheme) sejak tahun 2018.
Pagi ini saya telah melawat laman sesawang PERKESO dan mereka ada program pengekalan pekerjaan (ERP) untuk pekerja yang terima notis cuti tanpa gaji di sini.

Syarat kelayakan ialah:-
  • Pekerja hendaklah berdaftar dan mencarum dengan SIP (minimum 1 bulan caruman) serta diberi notis tanpa gaji sekurang-kurangnya 30 hari.
Sila lawat laman sesawang PERKESO di sini untuk keterangan lanjut.

Keterangan lanjut untuk permohonan boleh dibaca di sini.

Sumber




Wednesday 25 March 2020

SY-96W Universal AC/DC Adapter repair

Hari ini saya dirujuk sebuah adapter untuk kegunaan TV LED berjenama LG dengan masalah TV akan padam dengan sendirinya setelah beberapa saat dihidupkan.
Universal AC/DC Adapter
Adapter ini bukan adapter asal/tulen untuk TV LG. Gambar terakhir pada blog ini merupakan adapater tulen untuk TV LED yang berjenama LG.
Model: SY-96W
Gambar di bawah merupakan papan litar adapter setelah dibuka dan komponen yang didapati rosak telah saya tandakan.
Setelah dibuka...
Seperti yang semua sedia maklum, negara kita kini sedang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sehingga Mac 31, 2020 berikutan wabak CoVid-19 dan saya juga tidak mempunyai alat ganti yang sama untuk membaikinya sebab kedai eletronik bukan perkhidmatan perlu 'essential' dan tidak dibenarkan beroperasi.
Kapasitor yang rosak diganti...
Saya telah gantikan kapasitor utama 22uF, 400v dengan 33uF, 400v. Begitu juga dengan 2 biji 680uF, 35v, saya telah gantikan dengan sebiji 1500uF, 35v seperti boleh dilihat pada gambar di atas.
Pasang kembali...
Oleh kerana 2 biji 680uF, 35v tersebut disambung bersiri pada papan litar, jumlah nilainya ialah 680uF + 680uF = 1360uF. Jadi dengan menggunakan sebiji 1500uF adalah memadai dan sesuai serta boleh digunakan.
Laraskan voltan yang diperlukan..
Adapter ini boleh menghasilkan pelbagai voltan output dan telah saya labelkan pada gambar di atas. Pastikan anda laraskan kepada voltan yang sesuai untuk kegunaan masing-masing.
Testing - 19V
TV LED LG yang menggunakan adapter tersebut memerlukan voltan sebanyak 19V seperti boleh dilihat pada gambar di bawah.
TV LED menggunakan 19V
Setelah komponen yang rosak di atas saya tukar dan laraskan ke 19v serta diuji, adapter tersebut masih boleh digunakan semula.
Tested - ok
Perkara yang penting harus anda tahu dan lakukan ketika menggunakan adapter 'universal' ialah anda mesti melaraskan voltan yang sesuai untuk kegunaan masing-masing seperti di atas.
Adapter tulen untuk TV LG
Selamat mencuba...

Tuesday 24 March 2020

TelPhone TP-8085 telephone repair

Telefon seperti ini pernah saya baiki sebelum ini dan anda boleh membacanya di sini dan sini.
TelPhone TP-8085
Nota yang dilekat pada telefon seperti boleh dilihat pada gambar di atas merupakan mesej kerosakkan yang pemilik ingin sampaikan kepada saya. Namun setelah saya uji telefon tersebut, masalahnya ialah tidak berdering ketika ada panggilan.
Kapasitor bocor...
Setelah dibuka dan diperiksa, saya menemui kerosakkan pada sebiji kapasitor seperti yang telah saya tandakan pada gambar di atas.
Kapasitor yang elok...
Terdapat dua biji kapasitor 2.2uF, 250v dan hanya sebiji sahaja yang didapati rosak. Gambar di atas dan di bawah merupakan bacaan yang saya dapat bila diperiksa menggunakan multimeter pada kedua-dua kapasitor tersebut.
Kapasitor yang bocor (OL - over limit)
Kapasitor yang menunjukkan bacaan OL merupakan kapasitor yang rosak dan harus diganti.
Gantikan kapasitor yang baru...
Ketika menukar kapasitor yang baru, pastikan terminal positif (+ve) dan terminal negatif (-ve) tidak disambung terbalik.
Siap...
Setelah siap menukar kapasitor yang rosak dan diuji, kini telefon tersebut boleh berdering semula bila ada panggilan dan ianya telah berjaya dibaiki serta masih boleh digunakan.
Tested - ok
Selamat mencuba...