Friday 20 January 2012

Sakit Buah Pinggang

Dewasa ini kita sering mendengar berbagai-bagai jenis penyakit yang jarang didengar ketika 10 hingga 20 tahun yang lampau. Ramai yang tidak tahu apa itu sakit buah pinggang dan tidak kurang juga ada yang pernah mendengar tetapi tidak tahu kewujudannya yang semakin membimbangkan warga dunia moden.

Sebagai seorang insan yang pernah berkhidmat di pusat rawatan dialisis/pusat rawatan buah pinggang, saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengetahuan serta pengalaman selama 6 tahun berkhidmat di bidang dialisis. Pada mulanya saya diberi tugas berkhidmat sebagai pegawai kebajikan dan dalam masa yang sama saya juga pernah diberi kepercayaan untuk menyelengara serta membaiki mesin-mesin dialisis.

Saya juga sering dijemput menghadiri seminar serta ceramah yang berkaitan dengan dialisis dan sakit buah pinggang. Untuk makluman, saya bukannnya doktor atau pegawai perubatan mahupun pegawai kesihatan dan tidak layak untuk memberi nasihat. Walau bagaimanapun rasanya pengalaman yang saya perolehi sewaktu berkhidmat di pusat dialisis mampu membantu orang ramai yang ingin tahu atau sebagai persediaan bila diperlukan.

Walaupun saya kini tidak lagi berkhidmat di pusat dialisis tetapi ramai yang mengenali saya sering menanyakan soalan yang hampir sama berkaitan dengan sakit buah pinggang. Pada pagi ini saya juga telah dirujuk berkaitan masalah buah pinggang. Berikut merupakan soalan-soalan yang sering diajukan kepada saya:-

1. Apa itu sakit buah pinggang? - Seseorang itu akan diklasifikasikan sebagai pesakit buah pinggang apabila kedua-dua buah pinggangnya gagal berfungsi dengan sempurna.

2. Apa itu rawatan sakit buah pinggang (Hemodialisis)? - Hemodialisis (cuci darah) merupakan sejenis rawatan yang diperlukan apabila buah pinggang seseorang telah disahkan gagal menjalankan fungsi sepenuhnya oleh doktor pakar ginjal (nephrology). Saya diberitahu bahawa pesakit mesti menjalani rawatan hemodialisis apabila kemampuan buah pinggang berfungsi ditahap 5% atau kurang.

3. Bagaimana kita tahu buah pinggang kita bermasalah? - Hanya doktor sahaja yang dapat menentukan samada buah pinggang kita sihat atau sebaliknya melalui ujian darah serta air kencing.

4. Apakah punca kerosakan buah pinggang? - Setiap pesakit mempunyai punca kerosakan buah pinggang yang berlainan. Pesakit kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi (hypertension) merupakan penyumbang tertinggi warga pesakit buah pinggang.

5. Apakah persediaan yang perlu dibuat sebagai pesakit buah pinggang? - Hanya doktor sahaja yang akan menentukan bila pesakit perlu menjalani rawatan dialisis. Antara persediaan yang mesti dibuat ialah menjalani pembedahan mudah di bahagian pergelangan tangan atau dalam bahasa perubatan dinamakan sebagai 'ateriovenous fistula' atau singkatannya AVF. AVF hanya akan berfungsi selepas 4 hingga 6 minggu dibuat. Jika AVF dibuat gagal berfungsi, pesakit perlu membuatnya semula.

Sekiranya AVF belum berfungsi atau gagal berfungsi dan pesakit perlu segera menjalani rawatan, pihak hospital akan membuat pintasan sementera dibahagian leher yang dinamakan 'internal jugular catheters' atau singkatannya IJC dimana ianya disambung terus ke saluran darah ateri & vena.

6. Apakah tanda-tanda sakit buah pinggang? - Biasanya tiada simptom yang jelas menunjukkan kerosakkan buah pinggang di peringkat awal. Simptom hanya jelas apabila pesakit di peringkat akhir atau dikenali sebagai 'end stage renal failure (ERSF)' atau 'chronic kidney disease (CKD)'.

Simptom pesakit buah pinggang di peringkat akhir ialah seperti badan membengkak, gatal-gatal pada kulit, sesak nafas jika dalam keadaan baring, muntah-muntah bila terhidu masakan dan sebagainya.

Oleh yang demikian kita adalah dinasihatkan supaya menjalani ujian darah menyeluruh setiap tahun bagi mengetahui penyakit diperingkat awal. Sekiranya seseorang disahkan mengalami kegagalan buah pinggang di peringkat awal, peluang untuk sembuh atau setidak-tidaknya pesakit boleh melambatkan proses kerosakkan buah pinggang dengan bantuan serta nasihat doktor pakar buah pinggang.

7. Apakah bantuan/nasihat pakar sekiranya disahkan mengalami kegagalan buah pinggang di peringkat awal? - Setiap pesakit akan ditangani secara berbeza dan sila buat perjumpaan dengan doktor pakar buah pinggang (nephrology) untuk mendapatkan khidmat nasihat.

8. Adakah pesakit buah pinggang perlu menghindari makanan tertentu? - Secara amnya pesakit harus elak memakan makanan yang mengandungi fosfat, potassium & sodium yang berlebihan seperti makanan awet (ikan masin, telur masin, sayur masin, cencaluk, belacan, makanan tin dan sebagainya), durian, belimbing, lukam (mandarin orange), pisang dan lain-lain. Sila dapatkan khidmat nasihat pakar permakanan (dietitian) jika perlu. Setiap pesakit harus menghindari makanan tertentu berdasarkan keputusan ujian darah masing-masing.

Selain daripada makanan, pesakit juga perlu menghadkan pengambilan air. Ini berikutan pesakit tidak mampu mengeluarkan air berlebihan dari badan sekiranya buah pinggang pesakit telah berhenti berfungsi dan pesakit tidak membuang air kecil (kencing) lagi. Secara am bagi pesakit yang tidak membuang air kencing lagi, mereka hanya boleh meminum 500ml air sehari. Bagi yang masih membuang air kencing jumlah air yang boleh diminum ialah 500ml ditambah dengan jumlah air kencing yang dibuang dalam sehari. 

9. Berapa lama pesakit perlu menjalani rawatan untuk sembuh? - Hemodialisis merupakan rawatan bagi menggantikan fungsi buah pinggang yang telah rosak. Pesakit harus menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat.

10. Apakah jangka hayat pesakit buah pinggang? - Banyak faktor yang menyumbang kepada jangka hayat seseorang pesakit. Diantaranya ialah kesihatan pesakit itu sendiri ketika mula menjalani rawatan dialisis. Pesakit juga harus menjaga diet yang disyorkan oleh jururawat, dietitian mahupun doktor. Begitu juga dengan kehadiran rawatan dialisis, pesakit yang sering meninggalkan rawatan dialisis menyumbang kepada kualiti rawatan dialisis yang rendah. Secara amnya, pesakit yang patuh kepada nasihat jururawat, dietitian serta doktor boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa dan jangka hayat pesakit adalah ditangan pesakit sendiri.

11. Berapa kerap rawatan diperlukan? - Secara amnya pesakit dikehendaki menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu dan ada kes tertentu dimana pesakit hanya perlu menjalani rawatan sekali atau dua seminggu. Terdapat juga pesakit yang perlu menjalani rawatan setiap hari dan kekerapan rawatan dialisis adalah ditentukan oleh doktor pakar.

12. Apakah persediaan lain yang pesakit perlukan selain dialisis?- Majoriti pesakit yang menjalani rawatan dialisis juga akan mengalami kekurangan sel darah merah. Ini disebabkan jangka hayat sel darah merah menurun apabila menjalani rawatan dialisis.

13. Apakah cara terbaik menangani kekurangan darah pada pesakit dialisis? - Terdapat dua cara bagi menangani masalah kekurangan darah pada pesakit dialisis iaitu pertama, memerlukan suntikan erythropoeitin atau kedua, melalui pemindahan darah (blood transfusion). Bagi yang tidak mempunyai masalah kewangan, suntikan erythropoeitin adalah terbaik. Bagi yang tidak berkemampuan, pesakit boleh memilih untuk proses pemindahan darah ketika menjalani rawatan dialisis.

14. Bagaimana cara untuk mengelak daripada mengalami masalah kegagalan buah pinggang? - Amalkan kehidupan yang sihat dengan bersenam dan makan makanan yang seimbang serta segar. Buat ujian darah menyeluruh tahunan bagi mengetahui status kesihatan dan dapatkan nasihat doktor jika perlu bagi menangani segala permasalahan kesihatan.
Ini lah pusat dialisis tempat saya berkhidmat dahulu...
Anda boleh rujuk artikel di sini untuk keterangan lanjut oleh doktor pakar.

No comments:

Post a Comment

Your comment will be atttend by admin soon, thank you.